LAPTOP Cabuk menemui pembaca lagi. Berinspirasikan minda tua yang mungkin sudah berkarat, karya ini dan seterusnya akan cuba menyingkap cerita di sebalik tabir dan sesuatu yang mungkin terlepas daripada pengamatan ramai untuk sama-sama memeriah dan meraikan Liga Malaysia musim 2023.
KETERSEDIAAN Selangor FC tidak mungkin lebih baik daripada ketika ini selepas Sukan SEA Kemboja, dengan tempoh rehat tiga minggu liga menawarkan mereka lebih banyak penyelesaian berbanding kekusutan.
Ketua jurulatihnya, Tan Cheng Hoe, mengakui banyak berasa lega jika diambil kira kejayaan terbaru mengerdilkan cabaran Perak FC 4-0 pada Sabtu menjadi kayu pengukur kepada persembahan terkini mereka sebagai sebuah pasukan.
Kelancaran menggerakkan bola, larian-larian pemain untuk mencipta ruang, hantaran-hantaran lolos dan ketepatan penyudahan untuk menggoncang jaring – semua itu menceritakan skuad Gergasi Merah itu jauh daripada berkarat dalam tempoh senggang mereka.
Memiliki pilihan terbaiknya semula selepas melangkaui episod kecederaan dan penggantungan pemain, kemenangan di Stadium Perak, Ipoh itu harus menjadi titik tolak kepada peningkatan yang dicita-citakan.
“Ia agak melegakan,” kata jurulatih berusia 54 tahun itu kepada Laptop Cabuk, sambil menambah,
“Tapi ia tidak bermakna kami boleh mengambil mudah, sebaliknya kami perlu terus bekerja keras selepas ini.”
Cheng Hoe mula mengendalikan Selangor FC pada September 2022. — Facebook/SelangorFC
Lega kerana tempoh rehat liga sepanjang tiga minggu itu boleh menjejaskan momentum yang dibina mana-mana pasukan daripada terus menunjukkan persembahan secara konsisten untuk mengekalkan kedudukan terbaik dalam carta.
Juga lega kerana kegagalan di Sukan SEA yang dikhuatiri menyentap semangat pemain-pemain mudanya di bawah pengendalian ketua jurulatih, E. Elaravasan, di Phnom Penh, didapati tidak berlarutan.
Pertemuan di Ipoh itu mempertontonkan bagaimana Mukhairi Ajmal Mahadi dan V. Ruventhiran – dua pemain muda yang turut serta dalam rombongan ke Kemboja – beraksi seperti mana diharapkan daripada mereka.
Mukhairi Ajmal, terutamanya, menunjukkan keaiban di Phnom Penh itu sudah dilontar jauh-jauhdaripada mengganggu mindanya apabila menyumbang gol ketiga Selangor FC sejurus perlawanan melewati minit ke-50.
Mengutip satu hantaran Faisal Abdul Halim, Mukhairi Ajmal – penjaring dua gol ketika menundukkan Sri Pahang FC 4-0 dalam aksi Piala FA, 15 April lalu – melepaskan sepakan rendah dari luar petak penalti untuk menewaskan penjaga gol, T. Shaheeswaran, sebagai tanda dia sudah ‘kembali’.
Faisal dan Mukhari masing-masing merekodkan satu gol, selain Del Valle mejaringkan dua jaringan. — Facebook/SelangorFC
Sebelumnya, ketua jurulatih skuad Gergasi Merah itu mendedahkan bahawa pemain kelab yang mewakili negara ke Sukan SEA Kemboja bagaikan hilang motivasi selepas skuad Harimau Muda itu gagal melangkah jauh dan terkandas di peringkat kumpulan.
Merelakan pertemuan Johor Darul Takzim (JDT) dengan Sri Pahang FC di Stadium Sultan Ismail, Iskandar Puteri malam esok sebagai ‘perlawanan tumpuan minggu ini’, Cheng Hoe bagaimanapun menganggap pertemuan Selangor FC-Kedah Darul Aman (KDA) FC pada hari yang sama tidak kurang dinantikan ramai.
Setidak-tidaknya, padanya, ia satu perlawanan yang menemukan dua pasukan yang masih segar daripada memperagakan nafsu besar mengejar jaringan – KDA FC membelasah Kelantan FC 5-0 di Alor Setar pada Jumaat.
“Saya jangka Kedah akan sekali lagi berhabis-habisan mencari keputusan positif selepas kemenangan 5-0 ke atas Kelantan walaupun perlawanan ini (dengan Selangor FC) di luar dari halaman mereka sendiri.
“Di pihak Selangor FC, kami akan turun sebagai tuan rumah dan di atas kelebihan itu, kami perlu mengambil kesempatan sebaik-baiknya,” katanya merujuk kepada rekod skuad Gergasi Merah itu di Stadium MBPJ yang memberangsangkan sejauh ini.
Brendan ketika sesi latihan Gergasi Merah. — Facebook/SelangorFC
Dalam pada itu, ketua jurulatih itu mengakui bahawa apa saja rekod hanyalah di atas kertas kerana apa yang lebih menjadi perkiraan ialah prestasi sebenar di atas padang selain bingkas menterjemahkan peluang-peluang kepada jaringan.
“Sudah tentu di sebalik perancangan jurulatih, ada hari yang menjadi dan ada hari yang tidak menjadi dan hal ini adalah di luar kawalan sesiapa pun.
“Tapi saya selalu berpesan kepada pemain-pemain supaya mengurangkan kesilapan dalam perlawanan. Pasukan yang kurang melakukan kesilapan akan hanya berkemungkinan kecil dihukum oleh pasukan lawan,” tambahnya.
Cheng Hoe juga mengulangi bahawa di sebaliknya Kedah sentiasa dekat di hatinya sebagai pemain dalam dua fasa berbeza dari 1988–1995 dan 2000–2001 di samping menjadi ketua jurulatih skuad Hijau-Kuning itu dari 2014–2017, kesetiaannya tidak perlu dipersoalkan.
Cheng Hoe sebelum ini dianggap antara pengendali terbaik Kedah. — Facebook/KDAFC
Dengan pilihan terbaik ada di tangannya, termasuk mengharapkan Brendan Gan cukup cergas untuk mengetuai pasukan selepas dilihat terhincut-hincut di Ipoh, sasarannya tidak lain daripada mahukan Selangor FC terus mengukuhkan kedudukan di tangga kedua.
“Saya bagaikan tidak sabar menantikan satu perlawanan yang menarik...” kata Cheng Hoe yang tidak pun menghabiskan ayat berkenaan.
Tapi, KDA FC harus dapat menelah apa yang dimaksudkan jurulatih kelahiran Alor Setar pada tanggal 30 Mei 1968 itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram