NUKILAN 'Laptop Cabuk' menemui pembaca lagi. Berinspirasikan minda tua yang mungkin sudah berkarat, karya ini dan seterusnya akan cuba menyingkap cerita di sebalik tabir dan sesuatu yang mungkin terlepas daripada pengamatan ramai untuk sama-sama memeriah dan meraikan Liga Malaysia musim 2023.
SEKECIL-KECIL perincian jarang yang terlepas daripada penglihatan tajam Tan Cheng Hoe.
Kepada ketua jurulatih Selangor itu yang mementingkan ketelitian dalam pelbagai perkara, hal-hal kecillah yang kesudahannya boleh memberi perbezaan besar pada penghujung perlawanan mahupun musim.
Seorang yang beremosi di dalam tapi mengekalkan perawakan sedingin ais di luar, bahasa tubuh pemain-pemainnya turut sentiasa menjadi pengamatannya hingga tiada sebarang masalah daripada mereka yang dapat disembunyikan daripadanya.
Barisan pemain Selangor FC raih kemenangan ketika menentang Perak FC. — Facebook
“Keharmonian dalam pasukan sangat penting pada saya. Tiada mana-mana pemain yang lebih penting daripada pasukan itu sendiri. Apa yang saya tuntut ialah sikap tolong-menolong untuk memenangkan pasukan,” katanya kepada Laptop Cabuk.
Cheng Hoe mengakui yang dia meraih banyak kepuasan melihat tiadanya persaingan peribadi untuk menonjolkan diri dalam pasukannya, berbanding ada pasukan yang memperlihat penyerangnya saling berebut untuk menjadi penjaring terbanyak demi kegemilangan individu.
Gelagat pemain Gergasi Merah apabila berjaya mencetak jaringan. — Facebook
Padanya, gelagat Ayron Del Valle dan Faisal Abdul Halim saling berpelukan setiap kali salah seorang menjaringkan gol adalah bukti kesepakatan dan persefahaman dalam pasukan.
“Ayron sudah dapat sembilan gol dan Faisal empat. Tapi lihatlah bagaimana kedua-duanya menyokong satu sama lain dalam perlawanan.
“Ayron terbukti antara aset penting kami tapi dia kekal seorang yang merendah diri dan hanya fokus untuk melakukan kerjanya di barisan depan. Saya langsung tiada masalah dengan sikap dan kadar kerjanya, baik dalam latihan mahupun perlawanan,” ujarnya.
Antara pemain import yang menjadi tonggak utama The Red Giants. — Facebook MFL
Begitu juga bahasa tubuh Alex Agwarya dan Yohandry Orozco – dua pemain bersaiz hampir sama -- ketika berpadu tenaga menggerakkan jentera barisan tengah untuk merencanakan gerakan-gerakan ke pintu gol lawan, yang menyerlahkan kedua-duanya semakin serasi.
Orozco, 32, bakat dari Venezuela yang pernah beraksi bersama kelab Bundesliga, VfL Wolfsburg, dan New York Cosmos, hanya tampil selaku pemain gantian dalam empat perlawanan pertama. Namun, akhir-akhir ini, posisi di barisan tengah semakin menjadi milik tetapnya.
“Yohandry lewat sedikit menyertai pasukan (pertengahan Februari lalu). Selepas 11 perlawanan, dia semakin serasi dengan peranannya dan berganding baik dengan Alex, yang lebih memikul tugas membantu pertahanan,” tambahnya.
Aksi penjaga gol Selangor FC menyelamatkan percubaan Perak FC. — Facebook MFL
Namun, pada Cheng Hoe, lambang keharmonian dalam pasukan tidak mungkin diserlahkan lebih daripada kapten, Brendan Gan, yang menjadi contoh teladan buat rakan-rakan sepasukan.
Dimasukkan selaku pemain gantian dalam separuh masa kedua menentang Perak FC pada Sabtu, pemain berjersi nombor 88 itu terpaksa diusung keluar selepas cedera pergelangan kaki.
Namun, menyedari pasukan sudah membuat lima penggantian, dia masuk semula untuk meneruskan permainan sekali pun dalam keadaan terhincut-hincut hingga wisel penamat.
“Kita tahu Brendan seorang yang memiliki mentaliti yang kuat dan seorang pejuang yang dapat menaikkan semangat rakan sepasukan. Walaupun pergelangan kakinya dipijak pemain lawan, dia yang meminta untuk dimasukkan balik selepas menerima rawatan.
“Saya hanya dapat berharap dia sempat pulih untuk menghadapi Kedah (pada Rabu) kerana kehadirannya penting untuk mengemudi pasukan,” katanya.
Cheng Hoe juga akur dengan statistik yang menunjukkan perlawanan dengan Perak itu adalah kali keempat Selangor FC dikerah menanti hingga selepas 40 minit permainan untuk mendapatkan jaringan sulung.
Didahului oleh kemenangan 1-0 ke atas Kelantan Unied (26 Feb), disusuli kejayaan menundukkan Negeri Sembilan 2-1 (4 April) dan Sri Pahang 4-0 dalam aksi Piala FA (15 April), ia berulang di Ipoh pada Sabtu apabila sepakan percuma Ayron menerjah jaring pada minit ke-41 untuk Gergasi Merah itu mendahului 1-0.
“Saya sentiasa mahukan pasukan dapatkan gol awal kerana ia penting untuk motivasi pasukan dan membuatkan pemain-pemain lebih tenang dan lebih berkeyakinan selepas itu.
“Tapi melihat kepada penguasaan kami (ketika menentang Perak), saya tidak terlalu gusar. Saya tahu kami perlu bersabar sedikit dan jaringan akan datang juga selepas beberapa ketika,” tambahnya merujuk kepada kemenangan 4-0 itu.
Aksi menarik Ayron Del Valle bersama pemain Perak FC. — Facebook
Faisal mendapatkan gol kedua pada minit ke-45+1, Mukhairi Ajmal Mahadi enam minit selepas rehat dan Ayron sekali lagi pada minit ke-70.
Kini kembali ke landasan kemenangan daripada kekalahan 1-2 kepada Sabah FC di Stadium Likas, Kota Kinabalu, 27 April lalu, bekas ketua jurulatih Harimau Malaya itu lega pasukannya kini mendaki ke tangga kedua semula dengan himpunan 25 mata, mengatasi Sri Pahang FC hanya dengan perbezaan jaringan.
“Kemenangan (ke atas Perak FC) penting untuk kami berkedudukan baik bagi mencapai sasaran kami musim ini.
“Tapi kami perlu terus bekerja keras selepas ini setelah kekalahan kepada Sabah FC memberikan kami motivasi dan pengajaran yang baik,” katanya.
Cabaran berikut Rabu ini?
“Kedah sentiasa dekat di hati saya sebagai pemain (1988–1995 dan 2000–2001) dan ketua jurulatih (2014–2017),” tetapi, “Selangor adalah tanggungjawab profesional saya pada waktu ini.”
Lagipun, pasukan yang memiliki lebih keharmonian harus berkelebihan ke atas lawan yang dikhabarkan banyak tidak berpuas hati dengan pertukaran pemain-pemain dari awal musim lagi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram