[VIDEO] Fans Selangor MAC termasuk wanita, kanak-kanak kena bantai budak BOS di Stadium Tertutup Pasir Gudang


  • Podium
  • Ahad, 28 Mei 2023

Tangkap layar video kekecohan membabitkan penyokong JDT dan Selangor MAC pada Sabtu malam.

SEKUMPULAN individu dipercayai penyokong skuad futsal Johor Darul Takzim (JDT) dalam kalangan Boys Of Straits (BOS) bertindak di luar kawalan apabila mereka didakwa menyerang beberapa penyokong Selangor MAC termasuk wanita dan kanak-kanak.

Kekecohan itu difahamkan berlaku di luar Stadium Tertutup Pasir Gudang, Johor selepas perlawanan Liga Perdana Futsal Malaysia (MPFL) 2023 antara tuan rumah dengan gergasi Merah Kuning pada Sabtu malam.

Video tular berdurasi 29 saat yang dikongsikan di Twitter itu memaparkan keadaan tegang di mana sekumpulan lelaki dipercayai penyokong tegar kedua-dua pasukan bergaduh antara satu sama lain sehingga mendatangkan kecederaan.

Manakala seorang wanita dilihat menjerit sekuat hati apabila dia dan kanak-kanak yang dipegangnya dipercayai turut dikasari oleh beberapa lelaki yang berada di lokasi kejadian.

Dalam pada itu, terdapat juga dakwaan daripada pihak atasan menyatakan pasukan Selangor MAC tidak dibenarkan untuk menyarung jersi sendiri sewaktu perlawanan sebenar berlangsung di stadium tersebut.

Mereka sebaliknya cuma dibenarkan memakai jersi latihan sahaja.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warganet terutamanya penyokong Selangor MAC tidak berpuas hati dengan tindakan tidak wajar penyokong JDT terbabit.

"Peminat Selangor datang tengok pun tak boleh pakai jersi ya, kena buka. Harapnya tak ada patah teruk lah yang kena kacau dan bantai dekat Stadium Tertutup Pasir Gudang gang gang Selangor MAC," ujar ZufiQka Zulkifli.

"(Kami) diserang oleh sekumpulan penyokong tuan rumah termasuk wanita dan kanak-kanak juga diserang. Kami hadir sekadar untuk bersama pasukan futsal kami," kata Ezam Taro.

"Semoga dipermudahkan urusan buat sahabat-sahabat semua. Moga selamat sampai ke bumi Selangor nanti. Apa nak jadi dah. Melarat-larat melampaui batas hukum manusia," tulis Zuraini Safian Suri.

Keadaan salah seorang penyokong yang cedera selepas terlibat dalam pergaduhan di luar Stadium Tertutup Pasir Gudang pada Sabtu malam. — Twitter/ZulfiQka Zulkifli

Difahamkan, laporan polis berkaitan serangan itu juga telah dibuat di Balai Polis Pasir Gudang pada malam kejadian.

Untuk rekod, perlawanan Kumpulan B MPFL 2023 pada Sabtu malam menyaksikan kedua-dua pasukan berakhir dengan keputusan seri 1-1. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram