Manzoor Azwira mahu terap taktikal AS Roma bertemu JDT


  • Podium
  • Sabtu, 27 Mei 2023

Manzoor bersama sebahagian pemain Penang FC yang menjalani latihan menjelang pertemuan dengan JDT dalam aksi suku akhir Piala FA. — Facebook/ Penang FC

PENANG FC bakal berdepan tugas berat untuk menentang Johor Darul Takzim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim, pada Ahad apatah lagi ia membabitkan aksi kalah mati.

Penolong jurulatih Penang FC, Manzoor Azwira Abd Wahid bagaimanapun ada resipi tersendiri untuk Harimau Kumbang pada aksi suku akhir Piala FA itu.

Manzoor berkata, dia akan menerapkan taktikal bertahan untuk menyekat juara sembilan kali berturut-turut itu yang mendapat kelebihan beraksi di laman sendiri.

Pengendali berusia 46 tahun itu memberikan contoh taktikal pasukan AS Roma ketika bertemu Bayern Leverkusen dalam aksi semi final Liga Eropah pada 12 Mei lalu yang menyaksikan AS Roma menang 1-0.

"AS Roma hanya 28 peratus ball possession, membuat satu serangan sahaja dapat satu gol dan berjaya ke final.

"Saya ambil itu sebagai suatu yang positif dan rasa semua tahu sebab ia statistik," katanya kepada Astro Arena.

Manzoor berharap pendekatan tersebut dapat memberi kelebihan kepada Penang FC untuk mara ke separuh akhir.

"Mungkin kita tak perlu menguasai sepenuhnya perlawanan tapi dengan satu peluang yang diterima, kita akan cuba untuk dapatkan kelebihan kepada Penang," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram