LAPTOP Cabuk menemui pembaca lagi. Berinspirasikan minda tua yang mungkin sudah berkarat, karya ini dan seterusnya akan cuba menyingkap cerita di sebalik tabir dan sesuatu yang mungkin terlepas daripada pengamatan ramai untuk sama-sama memeriah dan meraikan Liga Malaysia musim 2023.
DISANGKANYA cuma sekali tapi ia berulang lagi dan tidak hairanlah jika nada bicara Datuk Ong Kim Swee dengan pemain-pemain Sabah FC di bawah kendaliannya akhir-akhir ini lebih keras daripada kebiasaannya.
Terikat seri 2-2 dengan Terengganu FC dan bolos juga ketika menundukkan Perak FC 3-1 – dua perlawanan di Stadium Likas, Kota Kinabalu yang disasarkan menepati kemahuannya agar menghindarkan kesilapan-kesilapan merugikan – belum terhasil sepenuhnya.
Harus apa yang menaikkan darah ketua jurulatih Sabah itu ialah keadaan berkenaan terjadi angkara kesilapan dan kealpaan pemain-pemainnya sendiri tanpa sebarang niat memperkecilkan kemampuan lawan.
“Pemain-pemain saya tidak boleh lagi hendak bersantai-santai atau mengambil mudah hanya kerana bermain di gelanggang sendiri. Jika itu terus diulangi, kami hanya akan mengundang padah lebih buruk,” kongsinya dengan Laptop Cabuk.
The Rhinos bolos satu jaringan kepada Perak FC dalam saingan Liga Super baru-baru ini. — Facebook/ Sabah FC
Namun, apa yang harus sedikit melegakan jurulatih berusia 52 tahun kelahiran Melaka itu ialah ketidaksempurnaan sedemikian masih boleh diperbetulkan asalkan pemain-pemainnya mahu mendengar kata.
Pertemuan suku akhir Piala FA menentang Kuala Lumpur City (KLC) FC di Stadium Likas pada Ahad akan menjadi ujian lanjut, dengan anak-anak buah Bojan Hodak yang memiliki reputasi naib juara Piala AFC itu disifatkan boleh menjadi lawan amat sukar.
“Saya harapkan pemain-pemain saya sudah belajar daripada kesilapan mereka dalam dua perlawanan terdahulu. Bermain di Stadium Likas, kami hendaklah memanfaatkan sepenuhnya kesempatan itu,” katanya.
Berhadapan Terengganu FC, 19 Mei lalu, skuad Sang Badak itu membenarkan pelawat yang ketinggalan dua gol pada satu ketika untuk bangkit mengikat kedudukan 2-2, dengan kedua-dua gol hasil sepakan percuma gemilang pemain serangannya, Sony Norde.
Serentak dengan itu, rekod 100 peratus di gelanggang sendiri yang dibanggakan mereka dalam lima perlawanan sehingga minggu ke-10 Liga Super (LS10) tidak mampu lagi dipertahankan sambil jumlah bolos juga bertambah dua lagi kepada 16 – catatan terburuk dalam kalangan lima pasukan teratas ketika itu.
Sony meledak dua gol dalam aksi perlawanan ke-11 Liga Super 2023 di Likas. — Facebook / MFL
“Mereka mendapat jaringan daripada kesilapan kami yang membiarkan Terengganu menguasai permainan dalam separuh masa kedua. Kami harus belajar daripadanya dan tidak mengulangi kesilapan serupa,” katanya selepas perlawanan itu.
Berselang cuma empat hari pada 23 Mei, Sabah FC menyerlahkan penguasaan untuk mendahului Perak FC 3-0 daripada gol-gol Darren Lok, Park Tae-su dan Baddrol Bakhtiar dalam separuh masa pertama di Stadium Likas, hanya untuk membenarkan lawan bangkit mendapatkan satu gol menerusi pemain tengah berusia 21 tahun, Harith Naem Jaineh, pada minit ke-83.
“Saya sudah ingatkan pemain-pemain sebelum perlawanan yang kami tidak boleh bolos ketika menentang Perak. Saya tidak peduli berapa gol yang kami jaringkan tapi kami tidak boleh bolos.
“Tapi ia berlaku juga dengan kami bolos satu gol kepada lawan yang membariskan pemain-pemain muda, yang berlari mengejar setiap bola dengan semangat mereka yang meningkat dalam separuh masa kedua.
“Sekali lagi, seperti pertemuan terdahulu dengan Terengganu, kami mengambil mudah dalam separuh masa kedua dan dihukum dengan jaringan pelawat itu.
“Apabila pemain-pemain saya lebih bersahaja dalam separuh masa kedua, dan pemain-pemain muda Perak pula memberikan kami pelbagai masalah, pemain-pemain kami dikerah bekerja lebih masa untuk bertahan.
“Saya harap pemain-pemain saya sudah belajar daripada kesilapan dalam dua perlawanan berturut-turut ini. Sudah tentu kami tidak boleh sekali-kali mengulangi permainan seperti dalam separuh masa kedua menentang Terengganu dan Perak. Jika tidak, kami akan bermasalah,” katanya lagi.
Tae-su dan Baddrol menjaringkan dua gol awal buat Sabah FC ketika aksi liga baru-baru ini. — Facebook/ Sabah FC
Dua mata yang hilang di samping tiga gol bolos ketika menjadi tuan rumah ditetapkan Kim Swee sebagai garis sempadan.
Melayani kunjungan KLC FC dalam aksi suku akhir Piala FA pada Ahad, tuntutannya kepada pemain-pemainnya ialah supaya mereka menebus kesilapan terdahulu dengan memastikan tiga mata selain memastikan ‘clean sheet’.
Ia juga dilihat sebagai kesempatan melunaskan hutang setelah pasukannya – ketika itu baru dileburkan rekod tanpa kalahnya selepas ditundukkan Johor Darul Takzim (JDT) 4-0 pada 31 Mac – dipalit kekecewaan berganda dalam kekalahan 0-2 kepada KLC FC di Stadium Bola Sepak Cheras pada 5 April.
“Kuala Lumpur sebuah pasukan taktikal yang menyulitkan lawannya. Tapi kami menyasarkan kemaraan sejauh mungkin dalam kempen Piala FA, seboleh-boleh hingga ke final.
“Tapi kami harus menghadapinya satu perlawanan demi satu perlawanan. Tiada gunanya saya bercakap mengenai final andainya KLC FC tidak dapat kami kalahkan lebih dahulu,” katanya.
KLC FC mungkin menjadi pasukan pertama menghadapi serangan Sabah FC daripada pemain berbeza-beza. — KL City FC
Kim Swee juga meraih dorongan daripada pemain sayapnya, Jailton Da Silva, yang semakin lincah.
Berulang kali dalam perlawanan menentang Perak, pemain dari Brazil itu ‘mempermainkan’ kapten lawan, Muhamad Hafizal Alias, dari bahagian sayap kiri, termasuk satu bantuan jaringannya yang disudahkan Baddrol.
Juga aksi sulung Farhan Roslan yang dimasukkan untuk 10 minit terakhir. Bagi mempertajamkan lagi sentuhannya, bekas penyerang Kedah FC itu turut diturunkan beraksi bersama skuad B-23 Sabah dan membuat jaringan dalam kekalahan 1-3 kepada Kedah B dalam aksi Piala MFL pada Sabtu.
“Saya sentiasa menggalakkan pemain barisan depan untuk mara ke kawasan lawan dan mendapatkan jaringan,” katanya.
KLC FC mungkin menjadi pasukan pertama menghadapi serangan Sabah FC daripada pemain berbeza-beza – dengan bertambahnya opsyen selain Lok dan Baddrol – dari pelbagai sudut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram