SKUAD Pahang Rangers berpesta gol, menumpaskan Terengganu 6-0 pada saingan Liga Futsal Perdana Kebangsaan (MFPL) di Stadium Tertutup SUKPA, di Kuantan, Pahang, pada Sabtu.
Pasukan tuan rumah membuka jaringan pertama seawal minit ke-10 menerusi pemain tengah Ahmad Harith Na'im Mohd Nasir, sebelum pemain import dari Iran Amin Nasrollah Zadeh Hosseinali meledakkan gol kedua, selang lima minit kemudian.
Pada minit ke-17, Saiful Nizam Mohd Ali mencipta gol ketiga buat Pahang Rangers apabila rembatannya berjaya menggegar jaring gol Terengganu.
Dalam babak kedua, skuad bimbingan Gerard Casas Ullastre itu terus meluaskan penguasaan dengan gol keempat menerusi Mohd Ridzwan Bakri pada minit ke-30.
Dua lagi gol Pahang Rangers tercipta pada minit ke-31 dan ke-34, menerusi jaringan Muhammad Alif Mat Amin serta Hamdin Zarif Mahmun, menjadikan 6-0 dan kedudukan itu kekal hingga wisel penamat.
Sementara itu, Gerard Casas berkata, kemenangan besar pada Sabtu memberikan motivasi tinggi kepada anak buahnya untuk beraksi lebih cemerlang pada perlawanan seterusnya. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram