Pinjam semangat adik, skuad Harimau Kumbang mahu kejutkan JDT, muncul semifinalis Piala FA


  • Podium
  • Selasa, 23 Mei 2023

Skuad Penang FC bakal membuat perhitungan dengan JDT menjelang perlawanan suku akhir Piala FA pada 23 Mei nanti. — Facebook/PenangFC

SKUAD Harimau Kumbang mendapat tonik terbaik apabila pasukan 23 tahun mereka berjaya menewaskan pasukan Johor Darul Takzim (JDT II) dalam Piala MFL 2023 yang berlangsung pada Ahad lalu.

Menang dengan keputusan 3-2 di hadapan penyokong sendiri, keputusan itu berjaya mengukuhkan lagi kedudukan pasukan Pulau Pinang FC di puncak Piala MFL dengan 26 mata berjaya diperoleh setakat ini.

Bertitik tolak daripada itu, skuad senior Penang dijangka mampu mengikut jejak langkah 'adik' apabila bakal membuat perhitungan dengan pasukan utama JDT dalam pusingan suku akhir Piala FA, 23 Mei nanti.

png

Skuad muda Penang FC berjaya menewaskan pasukan JDT II dalam saingan Piala MFL pada Ahad. — Facebook/PenangFC

Enggan menyerah kalah, skuad Harimau Kumbang pastinya mahu membuktikan sesuatu dalam perlawanan itu nanti biarpun menyedari kehebatan pasukan lawannya.

Bakal beraksi di hadapan ribuan penonton lawan, rata-rata peminat Penang enggan berputih mata sebaliknya mahu pasukan itu tampil dengan kejutan di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor.

"Kalau adik boleh menang, kenapa tidak abang? Saya yakin Penang FC juga mampu menang dengan JDT sebab bola itu bulat, macam-macam boleh berlaku," kata Abdul Pazeli.

"Pemain Penang kali ini memang bagus, mohon jurulatih bagi semangat dan latihan menyerang. Tajamkan lagi teknik kerana kerap sangat terpinga-pinya bila depan gol lawan dan sepakan jarak jauh juga perlu diperbaiki," ujar Rob Mae.

"Kalau Penang nak menang juga Piala FA ikut skuad muda, aku rasa jurulatih kena tengok siaran semula perlawanan itu, tahap kelajuan mana yang Penang main, baru betul boleh bagi saingan," jelas Mohamed Farez.

Penang yang sebelum ini cemerlang menewaskan Kuching City FC dengan 4-0 pada pusingan ke-16 Piala FA pastinya mahu meneruskan momentum cemerlang tersebut meskipun menyedari cabaran besar yang bakal dihadapi ketika berdepan skuad Harimau Selatan nanti. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram