EMPAT kekalahan berturut-turut dialami skuad Kelantan FC di bawah kendalian Frank Bernhardt kini semakin merisaukan dengan prestasi pasukan itu masih di takuk lama dan tiada perubahan selepas jurulatih itu dibawa masuk.
Menggantikan Choi Moon-sik yang sebelum ini direhatkan selepas gagal membawa peningkatan dalam skuad The Red Warrior (TRW), masa depan jurulatih kelahiran Jerman itu juga dikatakan bakal menerima nasib sama sekiranya kecundang dalam perlawanan berikutnya nanti.
Ia susulan penanda aras yang diletakkan oleh sesetengah penyokong yang melihat keputusan lima perlawanan sebagai penentu terhadap keupayaan seseorang jurulatih itu bersama Kelantan.
Skuad Kelantan terus kecundang pada perlawanan Liga Super apabila dijinakkan pasukan Kedah FC dengan keputusan 0-5. — Facebook/KelantanFC
Berbaki satu lagi perlawanan sebelum nasibnya ditentukan, berikut merupakan empat langkah yang perlu dilakukan oleh Frank Bernhardt bagi mengelak dirinya tersingkir sebelum pertengahan musim ini.
1. Catat keputusan seri
Tewas sembilan daripada 11 penampilan setakat ini menyaksikan skuad TRW perlu sekurang-kurangnya mencatatkan keputusan seri bagi memperbaiki jumlah kutipan mata di Liga Super.
Perlu diakui bahawa Kelantan kini semakin sukar untuk memperoleh kemenangan kerana pasukan-pasukan lain dilihat lebih teratur daripada segi perancangan di samping jurulatih yang sama sejak pada awal musim.
Oleh itu, keputusan seri dilihat mampu menjadi penyelamat maruah TRW dengan satu mata diperoleh mampu merawat luka di hati penonton sekali gus menambah bilangan mata serta kedudukan di carta liga.
2. Ambil kesempatan kekalahan PDRM FC dan Kuching City
Jika dilihat prestasi semasa setiap pasukan ketika ini, dua kelab yang dilihat setaraf dan berhadapan nasib sama dengan Kelantan adalah PDRM FC dan Kuching City FC.
Kedua-dua pasukan itu turut buntu dalam mencari kemenangan pada musim ini dengan masing-masing mencatatkan sembilan dan tujuh kekalahan setakat ini.
Situasi itu perlu digunakan sehabis baik oleh Frank Bernhardt dengan mengambil kesempatan ke atas prestasi kelab terbabit yang juga gagal membuahkan hasil dalam perlawanan.
Dalam erti kata lain, Kelantan tidak boleh tewas sekiranya berhadapan dengan kedua-dua pasukan ini dengan sekurang-kurangnya keputusan seri perlu diraih oleh barisan pemain TRW.
3. Elak tekanan penonton
Frank Bernhardt perlu bijak dalam menangkis segala kecaman serta tekanan di luar padang khususnya dalam kalangan penyokong.
Tidak dinafikan, sesetengah peminat agak lantang bersuara susulan kekalahan demi kekalahan dialami namun berbekalkan pengalaman serta sikap profesional sebagai seorang jurulatih, ia sepatutnya mampu diserap dan dijadikan pembakar semangat untuk terus memperbaiki persembahan pasukan.
Ditambah pula dengan baki satu perlawanan diberikan oleh penyokong ketika ini, saingan seterusya perlu dimanfaatkan sebaik mungkin bagi menghidupkan semula peluang dan sinar bersama skuad Kelantan pada musim ini.
4. Elak dibolosi dengan jaringan besar
Berdasarkan rekod semasa, TRW kerap kali dibolosi dengan jaringan besar yang melihatkan pasukan itu berpotensi untuk menamatkan kempen dengan catatan bolos tertinggi sekiranya ia berterusan.
Kekalahan terbesar dialami adalah ketika tewas di tangan pasukan Johor Darul Takzim (JDT) dengan keputusan 1-5 di Stadium Sultan Ibrahim dan terbaharu adalah ketika menentang Kedah FC dengan jaringan 0-5.
Lain-lain keputusan turut menyaksikan jumlah dua gol ke atas berjaya dibolosi pasukan lawan dan jaringan itu dilihat sebagai jumlah konsisten untuk TRW tewas pada setiap perlawanan.
Jaringan besar dihadapi juga menjadi punca kejatuhan mendadak Kelantan dalam kedudukan carta liga apabila jumlah perbezaan gol turut diambil kira dari segi pemarkahan.
Justeru, Kelantan perlu bangkit segera menjelang perlawanan berikutnya yang menyaksikan pasukan PDRM FC bakal berkunjung ke Stadium Sultan Muhammad IV di Kota Bharu pada 23 Mei kelak.
Suka ataupun tidak, Frank Bernhardt perlu segera bangkit daripada kekalahan dialami dan merancang taktikal terbaik buat pasukan TRW untuk sekurang-kurangnya mencatatkan keputusan seri dalam perlawanan tersebut sekali gus menghidupkan peluang serta masa depannya untuk kekal bersama Kelantan hingga ke penghujung musim ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram