Remaja Bangladesh gemar menyendiri sebelum hilang di Klang


  • Massa
  • Khamis, 25 Mei 2023

Seorang remaja dilaporkan hilang sejak Isnin lalu di Klang, Selangor.

SEORANG pelajar lelaki warga Bangladesh berusia 17 tahun dilaporkan hilang selepas kali terakhir dilihat berpakaian hitam di rumah keluarganya dekat Bandar Baru Klang, Selangor pada Isnin.

Izanur Hossain, 17, yang merupakan pelajar di Sekolah Menengah Sri Acmar, Klang, gagal dihubungi pihak keluarganya selepas tidak hadir ke sekolah pada hari sama.

Menurut adiknya, Hazim Yamen, 14, abangnya tidak keluar bilik tetapi hanya terdengar suaranya sahaja selepas beberapa kali dikejutkan untuk ke sekolah pada hari tersebut.

Katanya, ketika kejadian, ibunya berada di Rawang, Selangor.

Jelasnya, akibat menunggu terlalu lama, Yamen kemudiannya terus ke sekolah bersendirian meninggalkan abangnya di rumah kerana sudah menjadi kebiasaan untuk mereka bergerak dahulu sekiranya salah seorang daripadanya terlewat.

zanur

Izanur Hossain gagal dihubungi keluarganya selepas kali terakhir dilihat pada pagi Isnin di Bandar Baru Klang, Selangor.

Mula menyedari abangnya tidak ke sekolah pada hari itu, Yamen pada mulanya menganggap abangnya tidak sihat atau mungkin mengalami masalah kesihatan.

"Saya mula sedar abang tidak hadir ke sekolah ketika sesi sudah bermula sekitar pukul 8 pagi.

"Apabila balik sekolah, sebaik tiba di rumah, pagar luar rumah tidak bermangga tetapi pintu di dalam masih dikunci dan saya terus ke bilik abang dan ketuk pintu biliknya tetapi tidak berjawab, jadi saya ingatkan dia masih tidur.

"Akibat terlampau penat saya tertidur sampai 7 malam, selepas itu baru saya telefon mak saya tetapi tidak berjawab kerana baterinya sudah habis.

"Saya terus ketuk pintu bilik abang tetapi tiada reaksi, jadi saya mula hairan sebab tak mungkin dia tidur lama sangat," ujarnya kepada Majoriti.

Menggunakan alternatif lain untuk ke bilik abangnya yang bersebelahan dengan pintunya, Yamen menjelaskan bahawa terdapat sebuah tandas yang menghubungkan kedua-dua bilik tersebut namun bilik abangnya berkunci.

"Bila masuk tandas, saya jumpa duit dan kepingan kertas yang dibakar bertaburan di lantai.

"Ada gunting dalam tandas jadi saya masukkan celah pintu dan pusing sampai bengkok dan tonggol pintu itu pecah, jadi saya terus ke bilik abang.

"Sebaik masuk ke dalam, saya tengok telefon pintar dia dah tak ada gambar, nombor dan mesej Whatsapp sudah hilang macam sebuah telefon baharu," jelasnya.

Tambahnya, dia sekeluarga tidak tahu apakah punca sebenar perkara itu berlaku dan setakat yang mereka tahu abangnya tiada sebarang masalah dengan mana-mana pihak ataupun musuh yang boleh dikatakan sebagai suspek kejadian.

Selain itu, kelakuan abangnya yang semakin kurang berinteraksi dan gemar menyendiri beberapa hari lalu turut meninggalkan persoalan dalam kalangan keluarganya namun tiada andaian dibuat sebelum kejadian itu berlaku.

Difahamkan pihak keluarga Izanur terlebih dahulu membuat laporan kehilangannya di Balai Polis Bandar Baru Klang sebelum dia diminta ke Ibu Pejabat Polis Klang Utara untuk tindakan lanjut.

Setakat ini, masih belum ada sebarang penemuan dilaporkan pihak polis dan siasatan masih dijalankan berhubung kes tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram