[VIDEO] Ibu hilang hak penjagaan anak, budak orang asli terpaksa tinggal dengan bapa bukan Islam


  • Tular
  • Sabtu, 27 Mei 2023

Tangkap layar seorang kanak-kanak orang asli yang bersedih susulan perintah mahkamah untuk tinggal dengan bapanya.

SEDIH, hiba dan kecewa. Demikian merupakan situasi dihadapi dua beranak berasal daripada keturunan orang asli yang terpaksa dipisahkan selepas Mahkamah Tinggi Kuantan, Pahang menjatuhkan hak penjagaan kanak-kanak perempuan itu kepada si bapa.

Maisarah, 9, merupakan anak kepada pasangan orang asli yang telah berpisah dan telah memeluk agama Islam ketika dijaga ibunya sebelum ini.

Namun, bapanya difahamkan masih belum memasuki Islam dan dikatakan pernah menzalimi kanak-kanak terbabit dengan perlakuan kes dera, dipaksa minum minuman arak selain turut bersekedudukan dengan wanita lain tanpa menghiraukan anaknya.

Susulan perlakuan kejam itu, si ibu dikenali sebagai Aisyah bertindak melarikan anaknya ke Kuala Terengganu, Terengganu namun situasi itu tidak berpanjangan apabila bekas suaminya memfailkan permohonan untuk mendapatkan hak penjagaan selain turut dibantu beberapa Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang menyediakan peguam dari firma terkemuka.

Malang berganda buat dua beranak itu apabila mahkamah pada Khamis, enggan mendengar permohonan dari peguam pihak ibunya dan memerintahkan kanak-kanak terbabit diserahkan kepada bapanya.

Rakaman berdurasi 1 minit 31 saat yang dikongsikan di laman Twitter itu jelas menunjukkan kanak-kanak terbabit enggan kembali ke pangkuan ayahnya yang dikatakan seorang pemabuk, kaki judi dan tidak bertanggungjawab.

Aisyah yang diwakili peguam dari tetuan Messrs Amin Chambers telah pun membuat rayuan ke mahkamah bagi mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuantan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram