KAKITANGAN syarikat Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) dipercayai menerima pemberian sagu hati berupa wang ringgit pada perayaan Aidilfitri tahun ini.
Ia susulan perkongsian tular di Facebook @AnakKelantan yang memaparkan surat cadangan pemberian sagu hati Hari Raya Aidilfitri kepada kakitangan syarikat berkenaan.
Mendapat kelulusan AKSB, setiap ahli Lembaga Pengarah syarikat terbabit difahamkan menerima sebanyak RM10,000 sempena perayaan Aidilfitri tahun ini.
Pihak lain turut menerima pemberian itu adalah kakitangan serta pegawai kanan syarikat yang masing-masing menerima RM200 dan RM2,000 seperti yang tertulis dalam surat berkenaan.
Kelantan yang sebelum ini sering terpalit dengan isu air kotor, kerap mendapat kecaman dalam kalangan penduduk yang mengkritik hasil kerja serta pengurusan AKSB yang dikatakan gagal menyelesaikan isu tersebut sejak sekian lama.
Tangkap layar dokumen tular yang memaparkan pemberian sagu hati kepada kakitangan di AKSB.
Hangat diperkatakan di laman media, dokumen tular itu turut dikecam ramai susulan pemberian wang berkenaan yang disifatkan sebagai perkara tidak adil.
"Apa rasional bagi bonus beribu-ribu ni? Syarikat membantu rakyat sangat ke, kenapa tak fokuskan dulu untuk selenggara paip lama, mana kepentingan AKSB," soal Tuan Fairuz Tuan Ismail.
"Kalau bonus pun dah banyak macam itu, gaji dia berapa la agaknya tapi yang paling mustahak kerja penambahbaikan air di Kelantan tak juga diselesaikan, buat kerja biarlah ikhlas bukan hanya gaji buta," kata Fina Natasya.
"Untung jadi pengarah, dapat RM10,000 rakyat pula dapat air karat, menjawab la nanti di akhirat kalau masih berterusan macam ini," ujar Haqim Hafiy.
"Dengan kualiti air karat di Kelantan sejak berzaman, layak ke mereka dapat habuan macam itu, fikir-fikirkan la mana yang patut dan mana yang tertindas sekarang ini," tambah Dee Amran.
Belum ada sebarang kenyataan daripada pihak AKSB setakat ini berhubung isu tersebut dan orang ramai dinasihatkan untuk tidak menimbulkan sebarang persepsi negatif dan konflik berkaitan perkara berkenaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram