TIGA pengamal media diperkenan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah untuk membaca khutbah di masjid negeri Perak sempena sambutan Hari Wartawan Nasional pada Jumaat.
Pemilihan ketiga-tiga individu tersebut dikemukakan oleh Jabatan Penyiaran Negeri Perak serta Persatuan Pengamal Media Perak untuk mendapat tauliah sementara membaca khutbah di tiga masjid di negeri ini.
Mereka ialah Editor, Rencana Agama dan Sastera Berita Harian, Mohd Nazmi Yaakub yang akan berkhutbah di Masjid Sultan Idris Shah II (Masjid Negeri Perak); Ketua Biro Sinar Harian Perak, Saifullah Ahmad di Masjid Sultan Azlan Shah, Ipoh dan Penerbit Rancangan RTM, Mohd Fahmi Mohd Nor di Masjid Muhibbuddin Shah, Ipoh.
Bertemakan Kewartawanan: Menyempurnakan Tugas Berlandaskan Nilai-nilai Islam, ia merupakan satu kelainan buat masyarakat Islam di Perak apabila buat julung kalinya topik sedemikian disampaikan dalam khutbah solat Jumaat.
Mengulas lanjut tentang hal itu, Mohd Nazmi menganggap ia sebagai satu perkara menarik selain teruja untuk melaksanakan tanggungjawab tersebut.
Mohd Nazmi antara pengamal media yang dipilih untuk menyampaikan khutbah pada solat Jumaat di Perak.
"Saya memang teruja dengan inisiatif anjuran Jabatan Penyiaran Negeri Perak serta Persatuan Pengamal Media yang memberikan peluang kepada kami bertiga untuk menjadi sebahagian daripada penyampai khutbah di negeri ini.
"Dengan kerjasama pelbagai pihak, saya yakin ia mampu menjadi penghubung antara wartawan dan masyarakat apabila pengamal media itu sendiri membacakan khutbah di masjid.
"Apabila wartawan diberikan peluang, ia sebenarnya memberikan lebih pendekatan buat masyarakat memahami kerjaya kami yang mungkin sebelum ini ramai memandang sinis ataupun negatif.
Ketika ditanya sama ada wajarkah program dan pelaksanaan seperti ini diselaraskan di negeri-negeri lain, Nazmi Yaakub menyokong penuh cadangan itu selain turut menyifatkan ia sebagai perkara bermanfaat yang mampu mendatangkan pelbagai kebaikan.
"Ramai sebenarnya wartawan di Malaysia ini mempunyai latar belakang agama dari pelbagai institusi dan pusat pelajaran jadi tidak salah kalau mereka diberikan peluang sama seperti kami.
"Khususnya pada Hari Wartawan Nasional, program ataupun perkara seperti ini memang digalakkan supaya menjadi amalan serta kebiasaan dalam kalangan masyarakat untuk menerima kehadiran pengamal media," jelasnya.
Minggu lalu, bersempena sambutan Hari Belia Negara, Sultan Nazrin turut memberi perkenan kepada 24 pemimpin belia membaca khutbah di masjid-masjid terpilih di seluruh Perak. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram