Import Terengganu kini jadi sasaran Pahang bentuk gandingan Kpah Sherman


  • Podium
  • Rabu, 24 Mei 2023

Kpah memikul tanggungjawab besar sebagai satu-satunya penyerang senior skuad Tok Gajah ketika ini. — Facebook/Sri Pahang FC

ENAM gol yang dijaringkan buat Sri Pahang FC dalam saingan Liga Super meletakkan penyerang kelahiran Liberia, Kpah Sherman sebagai antara peledak berbahaya musim ini.

Selepas kerap dijadikan hanya sebagai pilihan kedua ketika bersama Terengganu FC pada 2022, pemain itu kini menjadi antara watak penting bagi skuad Tok Gajah.

Tambahan pula, kecederaan yang dialami seorang lagi penyerang import, Lucas Silva meletakkan beban yang lebih besar di bahu Kpah.

Namun, memandangkan separuh kedua musim masih belum bermula, kebergantungan terhadap bekas penggempur Kedah Darul Aman (KDA) FC itu boleh memakan diri.

Meskipun skuad Tok Gajah masih belum tewas dalam 11 perlawanan Liga Super, rekod jaringan mereka merupakan antara yang terendah dalam kelompak lima pasukan teratas.

345319266_801000581547284_6745116344242428029_n

Lucas Silva bergelut untuk mendapatkan rentak bersama skuad Tok Gajah. Facebook/Sri Pahang FC

Jadi, dengan jendela perpindahan kedua dijangka dibuka pada Julai, pasukan Pantai Timur itu pasti berhasrat untuk menguatkan lagi barisan serangan mereka.

Berdasarkan kuota import kelab berkenaan, masih terdapat satu slot kosong yang boleh diisi dengan seorang pemain dari luar negara.

Tetapi, melihat kepada kekangan masa dan isu menyesuaikan diri, Sri Pahang FC pasti akan memilih untuk mendapatkan sesiapa yang mempunyai pengalaman beraksi dalam Liga Malaysia.

Bagi penyokong, sasaran mudah yang boleh ditetapkan pemenang lima kali Piala Malaysia itu ialah pemain sayap Terengganu FC, Sony Norde.

Penyerang kelahiran Haiti itu mula menjadi bahan bualan peminat bola sepak tanah air berikutan dua jaringan yang dihasilkannya menerusi tendangan percuma ketika bertemu Sabah FC pada 19 Mei lalu.

347116891_208568625371412_6352924108034164675_n

Sony mencuri perhatian menerusi dua jaringan ketika bertemu Sabah FC. Facebook/Terengganu FC

Hasrat tersebut disuarakan peminat setia skuad Tok Gajah, Tan Fook Seng di laman Facebook yang berhasrat untuk melihat bekas pemain Melaka United itu pada separuh kedua Liga Super musim 2023.

"Tak rugi untuk Sri Pahang dapatkan dia ni, prestasi dia memang cukup padu. Selain itu, dia boleh digandingkan dengan Kpah Sherman supaya menjadikan jentera serangan makin mantap," tulisnya.

Pandangan tersebut turut disokong beberapa pengikut setia Sri Pahang yang lain, termasuk Nabiel Mohd Hamzah yang seperti kecewa dengan keputusan kelab untuk tidak menyambar khidmatnya lebih awal.

"Betul, saya juga dah lama terfikir kenapalah kita tidak membawa masuk Sony Norde dari Melaka United sebelum ini?" soalnya.

Bagi Zol Kipli pula, gandingan antara pemain berkenaan dengan Kpah akan memacu skuad Tok Gajah ke tahap lebih tinggi sebelum musim ini berakhir.

"Sony ni memang mantap untuk diturunkan bersama-sama penyerang Sri Pahang. Jangan ambil Sony Ericsson yang jenama elektrik tu sudahlah," katanya dengan nada bergurau.

Awal musim lalu, terdapat sedikit desakan daripada penyokong Sang Penyu yang mengharapkan agar pemain berkenaan tidak lagi diturunkan berikutan isu prestasi di atas padang.

Namun, dengan kebolehannya untuk menjaringkan gol menerusi tendangan percuma semakin menyerlah, kata-kata yang sebelum ini mahukan kelibatnya tidak lagi kelihatan sudah semakin hilang dibawa angin. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram