STADIUM Likas sememangnya terkenal sebagai kubu keramat Sabah FC, namun baru-baru ini 'rumah' The Rhinos terpalit dengan isu kurang enak mengenai keadaan fasiliti mereka yang tidak menggambarkan reputasi pasukan gergasi Liga Malaysia (Liga M).
Dalam satu hantaran di Facebook penyokong The Rhinos, Sabah Supporters Club mendedahkan mengenai momen kurang enak seorang peminat sewaktu menghadiri aksi menentang Terengganu yang menyaksikan masing-masing pasukan berkongsi satu mata.
Penyokong yang tidak mendedahkan namanya itu meluahkan kekecewaannya mengenai keadaan tandas di Stadium Likas yang kelihatan sangat daif, seolah-olah tiada staf ditugaskan untuk menguruskan perkara tersebut.
“Kalau benar aduan ini harap Sabah Football Club dan Pengurusan Stadium Likas dapat atasi perkara ini.... Aduan penyokong yang hadir perlawanan Sabah FC lawan Terengganu FC.
“Hello tuan..maaf tidak tahu nak mengadu di mana. Tiada kenalan di SAFA (Persatuan Bola Sepak Sabah) mahupun Sabah FC. Kita sayang pasukan kita tapi di masa yang sama segala kemudahan di stadium sepatutnya bagus dan berbaloi. Lagipun bukan datang percuma," memetik luahan itu.
Tidak menunggu lama memberi maklum balas mengenai kejadian tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sabah FC, Ahmad Marzuki Nasir menjelaskan bahawa urusan mengenai penyelenggaraan stadium dilakukan oleh pihak Lembaga Sukan Sabah.
Ahmad Marzuki tampil mendedahkan mengenai isu tandas daif di Stadium Likas. — Facebook/Sabah FC
Ahmad Marzuki berkata, pengurusan Sang Badak sudah memaklumkan perkara tersebut kepada lembaga berkenaan dan difahamkan mereka sedang menaik taraf setiap fasiliti Stadium Likas termasuk tandas tersebut bagi persediaan ke Piala AFC nanti.
"Berkenaan tandas tersebut, pihak lembaga sukan dalam proses upgrade stadium tapi apa-apa kelemahan kami akan cuba baiki. Stadium bukan seliaan kami dan disebabkan itu kami pun kadang terlepas pandang. Selama ini tiasa masalah tapi tiada apa-apa.
"Tiada tarikh spesifik bila urusan menaik taraf akan selesai tapi harapnya penyokong diminta bersabar dengan kelemahan yang ada. Kami akan bekerjasama dengan Lembaga Sukan. Bila kita bukan tuan punya stadium memang ada kekangan," katanya kepada Majoriti.
Kekurangan yang ada pada Stadium Likas membuatkan sesetengah penyokong mengkritik semula idea Sabah FC membina stadium baharu seluas sembilan ekar di Kota Kinabalu dengan dana sekurang-kurangnya RM50 juta.
Rumah baharu Sabah FC itu menjadikan Stadium Craven Cottage di Fulham dan Stadium Mongthong, Thailand sebagai rujukan untuk membina stadium berkenaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook,