Hafiz Sabah setanding Aqil Terengganu, tunggu masa pikat hati TMJ


  • Podium
  • Rabu, 24 Mei 2023

Hafiz (kanan) bersama Riduan ketika pencarian bakat diadakan di padang bola Kampung Skim Kuala Tomani, Tenom pada Januari lepas.

BERITA mengenai pemain cilik yang dikenali sebagai Muhammad Aqil Mohd Shamsul Aswadi mencuri tumpuan ramai selepas tular melalui satu video yang dimuat naik pengguna media sosial Aidir Photography.

Video yang kini sudah disaksikan ribuan penyokong bola sepak tanah air tersebut pastinya meningkatkan lagi tarikan orang ramai terhadap masa depan pemain kelahiran Terengganu itu.

Ia ekoran Muhammad Aqil,13, berjaya dirisik oleh Kelab Bola Sepak Johor Darul Takzim (JDT) sebelum sah menyertai Akademi JDT pada Khamis.

aqil sah jdt

Muhammad Aqil sah menyertai Akademi JDT selepas videonya beraksi di padang tular baru-baru ini. — Facebook/ JOHOR Southern Tigers

Namun di sebalik kisah sensasi itu, terdapat seorang lagi budak lelaki kelahiran Sabah yang sebelum ini pernah tular turut menunjukkan bakat sekali gus mendapat perhatian scouting daripada Akademi JDT sendiri.

Kisah Maxstanly Juin, 12, atau dikenali sebagai Hafiz menerima pujian daripada pelbagai pihak yang memberi inspirasi kerana hanya memakai but getah berharga RM9 ketika menghadiri satu program pencarian bakat bola sepak daerah Tenom dengan kerjasama Akademi JDT yang diadakan pada bulan Januari lalu.

Walaupun hanya memakai but getah yang dibeli oleh ayahnya, ia tidak mempengaruhi psikologi Hafiz untuk beraksi cemerlang sepanjang program tersebut, sekali gus menunggu masa untuk memikat hati pemilik JDT, Tunku Ismail Idris Sultan Ibrahim (TMJ) seperti mana Aqil.

hafiz sabah

Hafiz ketika berjumpa dengan wakil pencari bakat JDT.

Menerusi pendedahan daripada jurulatih Hafiz, Jabdi Said, mengatakan bahawa perkembangan anak buahnya sekarang dalam persiapan untuk saringan terakhir di JDT pada bulan Mei nanti.

"Hafiz sekarang masih dalam training dalam persiapan ke last trial di JDT yang bertempat di padang Skim Kuala Tomani," katanya kepada Majoriti.

Selain itu, Jabdi, 35, juga mendedahkan bahawa Hafiz tidak mempunyai tawaran lain daripada mana-mana kelab termasuk di Sabah sendiri dan akan kekalkan latihan sedia ada untuk mengasah lagi bakatnya.

"Setakat ini Hafiz tidak mempunyai tawaran dari kelab lain termasuk Sabah.

"Kalau contoh tidak dapat, kami akan teruskan memberikan latihan kepada Hafiz dan tiada masalah bagi kami," jelasnya.

Tambahan pula, Jabdi memberi pandangan sendiri mengenai video yang tular mengenai seorang budak lelaki dari Terengganu itu mengatakan bahawa tiada perbezaan antara Hafiz dan Aqil itu.

"Bagi pandangan saya, tiada perbezaan dan lebih kurang saja antara Hafiz dengan Aqil itu dari segi kawalan bola dan drebble.

"Tapi bakat Aqil itu memang tidak boleh dibiarkan," kongsinya.

Dalam pada itu, Jabdi juga berharap agar Hafiz mempunyai peluang untuk berada dalam senarai yang dibawa masuk ke Akademi JDT.

"Harapan saya Hafiz itu dapat peluang itu kerana bukan senang masuk dalam Akademi," katanya.

Selain itu, Jabdi turut mengatakan bahawa pada 28 dan 29 Mei nanti, dia bersama 22 pemain muda bakal terbang ke Johor untuk mengikuti pemilihan terakhir di Akademi JDT.

"Hujung bulan Mei ini nanti ada friendly match antara budak di Akademi JDT bersama Hafiz dan rakan-rakan dia," katanya.

Oleh itu, Jabdi berharap agar Hafiz dan beberapa rakan yang lain akan diberi peluang untuk mengasah bakat yang ada dalam diri mereka untuk masa depan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram