KEPULANGAN Johor Darul Takzim (JDT), Syafiq Ahmad ke Kedah Darul Aman (KDA) FC sememangnya menjadi satu perkara yang sering dinanti-nantikan kelab Utara tanah air itu.
Tahun-tahun sumbangannya bersama skuad Sang Kenari itu sememangnya satu perkara yang sukar dilupakan, lebih-lebih lagi dengan dia merupakan graduan akademi pasukan tersebut.
Tambahan pula, dia yang kerap diletakkan di bangku simpanan JDT cukup dinanti-nantikan kepulangannya ke KDA FC bagi memastikan sentuhannya di atas padang tidak merosot.
Bagaimanapun, memandangkan skuad Harimau Selatan seperti enggan untuk melepaskannya, ia boleh diibaratkan sebagai satu tamparan buat pasukan di tangga kelima Liga Super itu.
Syafiq lebih kerap diletakkan di bangku simpanan JDT musim ini. — Facebook/JOHOR Southern Tigers
Ia kerana skuad Sang Kenari memerlukan seorang penyerang berkualiti memandangkan prestasi kurang meyakinkan daripada Willian Lira dan Jonathan Balotelli.
Lira yang hadir dari kelab Jepun, Ventrofet Kofu masih mencari rentak terbaiknya dengan dia lebih mengharapkan umpanan daripada rakan sepasukan.
Walaupun sudah menjaringkan enam gol dan dua bantuan jaringan daripada 11 penampilan Liga Super, khidmatnya terus dipersoalkan, lebih-lebih lagi untuk jangka masa panjang.
Bagi Balotelli pula, pemain berkenaan kerap diletakkan di bangku simpanan memandangkan usianya sudah mencecah 34 tahun, sekali gus memberi impak kepada tahap kecergasannya.
Jadi, dengan jendela perpindahan dijangka akan dibuka pada Julai akan datang, perancangan perlu dibuat untuk memastikan perancangan menambah baik jentera serangan berjalan lancar.
Melihat kepada situasi ketika ini, terdapat tiga calon lain yang sesuai untuk dibawa masuk KDA FC sekiranya mereka gagal mendapatkan khidmat Syafiq Ahmad.
1. Ismahel Akinade
Umum mengetahui bahawa Kelantan FC ketika ini berada dalam kemelut di atas dan luar padang sehingga mengakibatkan kelab itu terperosok ke tangga ke-13 Liga Super.
Oleh itu, tidak hairanlah apabila khabar angin mula tersebar di media sosial mengatakan beberapa tonggak pasukan akan meninggalkan skuad The Red Warriors (TRW).
Antara yang disebut-sebut sedang mencari majikan baharu ialah penyerang import, Ismahel Akinade dengan kelibatnya dikatakan menarik minat Sabah FC.
Ia dikuatkan lagi dengan keputusan pasukan Borneo berkenaan untuk membenarkan pemain kelahiran Nigeria, Njoku Jacob meinggalkan mereka selepas kurang memberi sumbangan di atas padang.
Ismahel dikatakan sedang dirisik beberapa kelab Liga Super. — Facebook/TRW Kelantan FC
Jadi, sekiranya ura-ura yang mengatakan dia akan meninggalkan kelab Pantai Timur itu benar, KDA FC perlu bertindak segera untuk mendapatkan khidmatnya.
Tiga gol dan tiga bantuan jaringan yang dihasilkan dalam sembilan penampilan Liga Super membuktikan kebolehan pemain berusia 29 tahun itu cukup berharga.
Selain ketinggiannya mencecah 1.9 meter membolehkannya menanduk bola ke gawang gol, Ismahel juga mempunyai kelajuan untuk membantu serangan balas.
Bukan itu sahaja, pemain berkenaan juga mempunyai tubuh badan yang sasa bagi menghalang cubaan pemain lawan daripada mencuri bola dari kakinya.
Tetapi, dengan Kelantan FC dikhabarkan bakal melakukan rombakan secara besar-besaran, adakah mereka akan dengan mudah melepaskan Ismahel ketika jendela perpindahan akan datang?
2. Adisak Kraisorn
Harapan cukup tinggi diletakkan di bahu penyerang kebangsaan Thailand, Adisak Kraisorn ketika dia menyertai Terengganu FC pada Disember yang lalu.
Reputasinya ketika mewakili negara kelahirannya itu cukup membanggakan memandangkan dia pernah muncul sebagai penjaring terbanyak dalam saingan Piala AFF 2018.
Malah, statistiknya di peringkat kelab juga tidaklah terlalu mengecewakan dengan 59 gol yang dijaringkannya dalam 210 penampilan Liga Thailand.
Namun, dengan Terengganu FC tidak memiliki seseorang yang berkebolehan untuk menghidangkan peluang keemasan, Adisak dikatakan sedikit mengecewakan selepas 11 perlawanan.
Adisak gagal memberikan sumbangan terbaik bersama skuad Sang Penyu. — Facebook/Terengganu FC
Dua gol dan dua bantuan jaringan setakat ini dianggap gagal untuk membantu skuad Sang Penyu berada di kedudukan lebih baik.
Selain itu, jurulatih pasukan Pantai Timur tersebut, Tomislav Steinbruckner dilihat lebih gemar untuk menggunakan Ivan Mamut yang mempunyai deria penyudah lebih baik ketika ini.
Jadi, sekiranya Adisak berharap untuk meningkatkan kebolehannya dalam Liga Super, KDA FC merupakan destinasi terbaik melihat kepada kualiti pemain yang dimilikinya.
Pemain sayap, Manuel Hidalgo dan Al-Hafiz Harun mempunyai kebolehan untuk melakukan hantaran lintang yang boleh memberi peluang buat Adisak.
Di samping itu, keberadaan pemain tengah menyerang, seperti Lee Tuck dan Manuel Ott juga memberi satu kelebihan buat penyerang berusia 32 tahun itu meledak.
Persoalannya, adakah kelab Utara tanah air itu akan terlalu awal berputus asa terhadap Lira dan Balotelli dengan melepaskannya pada jendela perpindahan kedua?
3. Lucas Silva
Kehadiran penyerang kelahiran Brazil, Lucas Silva ke Sri Pahang FC seakan-akan gagal memberikan sebarang impak seperti yang diharapkan.
Pemain tersebut sebelum ini muncul sebagai antara peledak ketika bersama Penang FC, namun memilih untuk meninggalkan kelab itu berikutan kontraknya sudah tamat.
Tetapi, kecederaan yang dialaminya menyebabkannya terus disisihkan di bangku simpanan sementara beban di posisi serangan dipikul bekas penyerang KDA FC, Kpah Sherman.
Oleh itu, dengan jendela perpindahan kedua hanya akan dibuka pada Julai, terdapat kemungkinan penyerang berusia 33 tahun tersebut akan dilepaskan.
Isu kecederaan menyebabkan Lucas terus disisihkan. — Facebook/Sri Pahang FC
Persoalannya, ke manakah destinasi Lucas sekiranya kontraknya bersama pasukan Pantai Timur itu ditamatkan dengan persetujuan kedua-dua pihak.
Melihat kepada situasi ketika ini, KDA FC merupakan kelab terbaik untuk menerima khidmatnya bagi menguatkan lagi jentera serangan pasukan.
Walaupun dia difahamkan terpalit dengan isu kecederaan, kebolehannya masih boleh ditagih baik dari segi pengalaman mahupun sumbangan di atas padang.
Musim ini, Lucas hanya mengumpul empat penampilan bersama skuad Tok Gajah dengan tiga daripadanya hadir dalam saingan Liga Super.
Dalam kesemua aksinya itu, Lucas masih belum menjaringkan gol dengan dia pernah gagal menyempurnakan penalti ketika bertemu KDA FC. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook,