'Bersyukurlah, kalau tidak dah lama berkubur Perak FC,' fans TBG diseru tidak putus asa, terus percayakan XOX


  • Podium
  • Isnin, 22 Mei 2023

Perak FC kini menghuni tangga ke-11 Liga Super dengan hanya sembilan mata yang berjaya dikumpul setakat ini. — Facebook Perak FC

SETELAH Selangor FC membelasah Perak FC 4-0 dalam aksi Liga Super 2023 di Stadium Perak, Ipoh, Perak pada Sabtu, rata-rata penyokong skuad The Bos Gaurus terus menyuarakan kekecewaan terhadap prestasi pasukan kesayangan mereka.

Persembahan skuad Seladang itu dilihat terus merudum sekali gus mengundang kecaman dalam kalangan penyokong yang semakin kecewa dengan kelab tersebut.

Anak-anak buah Datuk Lim Teong Kim itu hanya mampu mencatatkan rekod dua kemenangan, tiga seri dan enam kekalahan dalam 11 aksi yang dipamerkan musim ini.

Perak FC kini menghuni tangga ke-11 Liga Super dengan hanya sembilan mata yang berjaya dikumpul setakat ini.

Sudahlah kecundang di tangan pasukan kendalian Tan Cheng Hoe ketika beraksi di halaman sendiri, perlawanan 'El Clasico Malaya' itu turut dicemari dengan insiden pergaduhan tercetus membabitkan penyokong Perak FC dan Selangor FC apabila sekumpulan penyokong skuad Seladang menyerbu ke arah kawasan menempatkan penyokong pelawat.

Datuk Lim Teong Kim guiding his players during the game against Kuala Lumpur. - Photo by Perak FC

Teong Kim terus diberi kepercayaan mengemudi Perak FC meskipun sekadar mencatat dua kemenangan setakat ini. — Perak FC

Kehadiran bebeberapa orang anggota polis yang menjaga kawasan tersebut dilihat gagal mengelakkan berlaku pertembungan fizikal antara penyokong kedua-dua pasukan terbabit.

Pergaduhan tersebut bagaimananapun dapat disuraikan dengan kehadiran beberapa anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang segera hadir ke lokasi tersebut.

Dalam pada itu, meskipun ramai penyokong yang meluahkan kekecewaan mereka, terdapat segelintir penyokong setia yang masih percaya pihak pengurusan kelab tersebut akan mampu membawa satu perubahan yang baik untuk perlawanan akan datang.

Bagi Afiq Afendi, dia berharap agar peminat skuad The Bos Gaurus tetap bersabar menunggu hasil dan tidak perlu meninggalkan komen yang berbaur hinaan buat pemain dan pihak pengurusan di mana-mana laman sosial.

"Korang pun bersabar lah sikit, bagi XOX masa. Bukannya ambil alih hari ini boleh terus menang. Bersyukurlah ada orang nak ambil alih, kalau tidak dah berkubur team Perak ni. Benda perlukan masa.

"Bajet Perak pun bukannya sebesar JDT. Jadi kena la realistik. Selangor bajet puluh juta, jauh nak banding dengan Perak. Memanglah mereka boleh menang," katanya.

perak fc

Masih ada penyokong Perak FC percaya terhadap pasukan yang sedang dibina untuk mencabar kejuaraan Liga Super.

"Bila tengok komen, macam tak membina, kome (kalian) marah, aku tahu tapi nak buat macam mana. Ini baru kali pertama XOX ambil alih, swasta sepenuhnya, jadi kewangan tu memang tak berapa ada, tolonglah fikir.

"Bukan mudah sebuah pasukan nak membina, kita bukan Selangor atau Kedah yang dibantu kerajaan negeri. Nak bina satu pasukan ambil masa lama, jenis tak bersyukur payah juga," ujar Muhammad Danial Asyraf.

"XOX awal-awal beritahu beli Perak FC dgn falsafah XOX, jadi bersediakah kalau tahun ni memang banyak kalah, nak tegur (boleh) tegur.

"Tetapi janganlah maki dan bagi tekanan sangat, semua bergantung bajet juga, kalau ada yang pertikai dah tau tidak ada bajet buat apa XOX beli Perak FC..siapa yang ada bajet besar belilah balik kita tengok.

"XOX teruskan usaha..go Perak go..kalah teman (saya) pun kecewa tapi sedar pasukan Perak ni macam mana," katanya.

Untuk rekod, syarikat telekomunikasi terkenal, XOX Berhad mengumumkan mengambil alih tampuk pengurusan Perak FC pada April tahun lalu setelah kelab itu berdepan kemelut isu tunggakan gaji dan pengambilalihan pasukan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram