AKSI Liga Super antara Selangor FC dan Perak FC yang berlangsung Stadium Ipoh, Perak pada Sabtu kecoh setelah tercetusnya perbalahan membabitkan penyokong masing-masing.
Difahamkan, insiden itu berlaku di awal permainan apabila sekumpulan penyokong skuad Seladang menyerbu ke arah kawasan menempatkan penyokong pelawat.
Kehadiran bebeberapa orang anggota polis yang menjaga kawasan tersebut dilihat gagal mengelakkan berlaku pertembungan fizikal antara penyokong kedua-dua pasukan terbabit.
Pergaduhan tersebut bagaimananapun dapat disuraikan dengan kehadiran beberapa anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang segera hadir ke lokasi tersebut.
Mantaplah yob ! Fans Perak sendiri yang tahan member yang buat rusuhan semalam. Haaa sape suruh cari pasal, kan dah kena. pic.twitter.com/vm9KlSaSth
— Majoriti (@majoritionline) May 21, 2023
Namun polis dilaporkan telah menahan empat lelaki yang terbabit dalam pergaduhan tersebut pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner, Yahaya Hassan berkata, ujian air kencing yang dijalankan ke atas mereka mendapati seorang daripada empat suspek berusia antara 18 hingga 26 tahun yang ditahan adalah positif dadah.
Jelasnya, kesemua mereka ditahan untuk disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan dibawa ke Mahkamah Majistret Ipoh bagi mendapatkan perintah reman.
Bagaimanapun, tular satu video pada Ahad memaparkan salah seorang pelaku yang terlibat dalam rusuhan tersebut ditahan oleh para penyokong skuad The Bos Gaurus sewaktu sedang melarikan diri.
Video berdurasi 21 saat yang dikongsikan di Twitter itu menunjukkan orang ramai bersorak setelah lelaki berbaju hitam itu berjaya ditahan.
Beberapa pegawai polis, anggota FRU dan penyokong lain dilihat bergegas lari ke arah lelaki berkenaan sambil orang ramai bersorak menyaksikan kejadian itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram