Bos Perak FC minta penyokong 'DM' gambar puak perosak, akui kos tinggi banteras geng kasual


  • Podium
  • Ahad, 21 Mei 2023

CEO Perak FC itu mahu perkara sebegitu tidak lagi berulang kerana ia menjejaskan reputasi bola sepak.

AKSI Liga Super antara Perak FC dan Selangor FC di Stadium Ipoh, Perak pada Sabtu dicemari dengan pergaduhan antara penyokong kedua-dua pasukan.

Berdasarkan laporan dan perkongsian orang ramai, kekecohan tersebut dicetuskan sebilangan peminat yang dikenali sebagai 'casual' bertujuan untuk menghangatkan suasana.

Namun, dengan ia membahayakan penonton di stadium, pihak polis terpaksa mengambil keputusan meleraikan golongan itu daripada terus merebak.

Tampil menjelaskan akan perkara itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif Perak FC, Bobie Farid Shamsudin yang juga mahu memberi kerjasama membanteras pesalah daripada isu tersebut berulang.

"Jika ada gambar-gambar mereka mereka ini boleh mesej saya untuk kita usaha lagi membenteras mereka mereka ini. Keadaan stadium juga agak terbuka di mana meteka ini boleh bebas kesana kemari tanpa hadangan hadangan yang bagus," katanya.

Perkara itu diluahkan Bobie menerusi satu hantaran di akaun Facebook TBG Super Fan yang difahamkan miliknya berdasarkan kemas kini yang kerap dilakukan.

2082752

Kekecohan yang berlaku di Stadium Ipoh, Perak ketika aksi Liga Super antara Perak FC dan Selangor FC.

Berdasarkan laporan daripada pihak polis, seramai empat individu sudah ditahan berikutan insiden tersebut yang hanya akan mencalarkan imej bola sepak tanah air.

Tambah Bobie lagi, pihaknya memahami bahawa segala usaha untuk mengelak insiden sebegitu berulang memerlukan pelaburan yang mungkin akan memberi kesan terhadap struktur kewangan kelab.

"Semalam (Sabtu) semua kaunter tiket dibuka, marshal semaksima mungkin kerana menjangkakan kehadiran yg ramai dan secara keseluruhan kami membelanjakan sekitar RM50,000 ke 60,000 termasuk sewa venue.

"Dah lah rugi, kalah pulak tu. Kena kecam sampai ke Vietnam gara gara pihak Casual Perak. Keadaan stadium juga agak terbuka di mana mereka boleh bebas ke sana ke mari tanpa hadangan hadangan yang bagus," tulisnya.

Dalam pada itu, kenyataan rasmi daripada Perak FC pada Ahad menegaskan mereka akan bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi mengelakkan perkara sebegitu berulang.

"Perak FC sentiasa berusaha dan bersiap sedia untuk memastikan perlawanan yang kami anjurkan di Stadium Perak adalah selamat untuk dihadiri oleh semua pihak.

"Kami akan mengadakan perbincangan bersama pihak berkuasa dalam masa terdekat bagi mengenal pasti pelaku dan akan mengambil tindakan larangan kehadiran mereka ke stadium," tulis kenyataan itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram