Empat pemain tumpuan aksi sengit Selangor vs Kedah


  • Podium
  • Isnin, 22 Mei 2023

Dari kiri: Faisal, Ayron, Lira dan Amirul Hisyam dijangka menjadi pemain tumpuan dalam aksi Selangor FC menentang KDA FC, pada Rabu ini. — Facebook

AKSI Selangor FC menentang Kedah Darul Aman (KDA) FC pada Rabu pastinya menjadi perlawanan yang ditunggu-tunggu oleh peminat bola sepak tanah air.

Ini kerana, pertembungan dua pasukan di kelompok empat teratas liga itu tentunya bakal menyajikan persaingan sengit memandangkan kedua-duanya kini dilihat berada dalam prestasi terbaik.

Di sebalik kekalahan tipis 2-1 kepada Sabah FC di gelanggang lawan pada 27 April lalu, skuad Gergasi Merah berjaya kembali bangkit untuk mencatkan kemenangan selesa 4-0 ketika menentang Perak FC pada Sabtu.

Keputusan tersebut membolehkan Selangor FC merekodkan 5 kemenangan daripada enam perlawanan terakhir dilalui.

WhatsApp Image 2023-05-21 at 7.11.33 PM

Selangor FC kini berada di kedudukan kedua dalam carta Liga Super selepas 11 perlawanan. — Selangor FC

Catatan tersebut membolehkan skuad Lembah Klang itu berada di kedudukan kedua Liga Super 2023 selepas 11 perlawanan dengan mengutip 25 mata.

Bagi skuad Sang Kenari yang ketika ini menghuni tangga keempat liga, keputusan dua kemenangan berturut-turut dalam aksi terakhir liga memberikan gambaran bahawa pasukan tersebut kembali kepada momentum positif yang diinginkan.

Ia selepas KDA sebelum itu mengalami dua kekalahan berturut-turut di tangan Kuala Lumpur (KL) City FC 2-3 dan Johor Darul Takzim (JDT) 0-6.

Sementara itu, rekod dua perlawanan terakhir antara Selangor FC dan KDA FC pada musim lalu menyaksikan keputusan seimbang dengan masing-masing berjaya merekodkan kemenangan ketika aksi di tempat sendiri.

Pada pusingan pertama Liga Super 2022, Selangor terlebih dahulu menewaskan KDA FC 4-1 di laman sendiri sebelum tewas pada perlawanan pusingan kedua liga ketika tampil di Stadium Darul Aman, Alor Setar, Kedah 3-1.

WhatsApp Image 2023-05-21 at 7.11.23 PM (2)

KDA FC dilihat kini kembali ke landasan kemenangan selepas berjaya mencatatakn dua kemenangan berturut-turut dalam dua aksi terakhir liga. — KDA FC

Namun begitu, berbeza berbanding musim lalu, aksi kali ini dilihat lebih mendebarkan kerana Kedah kini dikendalikan oleh jurulatih baharu, Nafuzi Zain.

Ia menjadikan perlawanan ini lebih menarik kerana menyaksikan pertembungan taktikal dua jurulatih muda negara yang memiliki nama besar iaitu Nafuzi dan Tan Cheng Hoe yang merupakan pengendali Selangor FC.

Majoriti menggariskan empat bakal menjadi tumpuan pada aksi membabitkan kedua-dua pasukan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Selangor.

1. Faisal Halim

WhatsApp Image 2023-05-21 at 7.07.46 PM

Faisal (kiri) ketika aksi menentang Perak FC pada Sabtu. — Selangor FC

Sejak mula menyertai Selangor FC pada musim ini, pemain sayap kanak Faisal sememangnya menjadi nadi kepadan barisan serangan Selangor.

Ia terbukti apabila daripada 11 aksinya bersama Selangor, dia berjaya merekodkan lima jaringan gol dan lima bantuan gol.

Selain memiliki larian deras dan gelecekan mengelirukan, aspek penting dalam permainan Faisal yang perlu diberikan perhatian oleh barisan pertahanan Kedah FC adalah keupayaannya untuk melakukan hantaran lolos ke kubu pihak lawan.

Pada masa sama, Faisal, 25, juga dilihat diberikan kebebasan untuk bergerak di mana-mana posisi barisan hadapan skuad Gergasi Merah bagi membantu pasukan merencanakan serangan.

Disebabkan, barisan pertahanan skuad Sang Kenari yang dikemudi Bob Ciger dan Rodney Celvin dijangka menghadapi malam yang sibuk bagi mengekang serangan Selangor FC yang diketuai Faisal.

2. Ayron De Valle

WhatsApp Image 2023-05-21 at 7.07.46 PM (1)

Ayron kini merekodkan sembilan jaringan daripada 11 aksi bersama Selangor FC pada musim ini. — Selangor FC

Selepas melalui permulaan musim agak perlahan, penyerang import Selangor FC dari Colombia ini dilihat mula mendapatkan rentak jaringan dalam beberapa perlawanan terakhir.

Dalam enam aksi terakhirnya bersama Gergasi Merah, dia berjaya menyumbang tujuh jaringan buat pasukannya.

Prestasi dipamerkan itu tidaklah mengejutkan kerana beliau sebelum ini hadir dengan rekod jaringan yang agak memberangsangkan ketika beraksi di Liga Colombia.

Sebagai penyerang yang berpengalaman, Ayron, 34, dilihat agak klinikal dalam menterjemahkan peluang yang hadir dalam bentuk jaringan.

Pada masa sama, dia sangat bijak dalam menghidu kelekaan barisan pertahanan lawan termasuk melalui keupayaannya untuk melepaskan rembatan deras dari luar kotak penalti.

Kepelbagaian dalam mencipta jaringan ini pastinya memberikan ancaman yang besar buat KDA FC bagi memastikan gawang mereka tidak dibolosi.

3. Willian Lira

WhatsApp Image 2023-05-21 at 7.11.23 PM (1)

Lira (kiri) ketika ini dilihat semakin selesa mengemudi jentera serangan pasukan KDA FC selepas 11 perlawanan. KDA FC

Sama seperti Ayron, penyerang import Brazil yang direkrut KDA FC pada musim ini, Willian Lira turut menunjukkan permulaan prestasi yang agak kurang menyakinkan.

Malah, Lira, 29, dilihat mendapat kritikan keras daripada penyokong mahupun pemerhati bola sepak negara ketika skuad Sang Kenari masih tercari-cari rentak pada beberapa perlawanan awal musim ini.

Namun begitu, keupayaannya menyumbang enam gol dan dua bantuan gol selepas 11 perlawanan dilihat sedikit sebanyak menutup mulut pihak yang mempersoalkan kewibawaannya untuk membantu pasukan mencipta jaringan.

Lira juga dilihat semakin selesa untuk beraksi di bahagian depan skuad Sang Kenari dengan dia dilihat terus diberi kepercayaan oleh Nafuzi untuk membarisi kesebelasan utama pasukan.

Dengan tahap keyakinan yang diperolehi ketika ini dan dibantu dengan sokongan barisan tengah menyerang yang mantap, Lira dijangka boleh menjadi duri dalam daging kepada barisan pertahanan Selangor FC pada aksi kali ini.

4. Amirul Hisyam Awang Kechik

WhatsApp Image 2023-05-21 at 7.11.23 PM

Amirul Hisyam ketika aksi menentang Kelantan FC pada Jumaat. — KDA FC

Dalam beberapa perlawanan awal musim ini, barisan tengah skuad Sang Kenari sering kali mendapat kritikan daripada penyokong.

Antara hujah diberikan dalam teguran tersebut adalah isu ketidakupayaannya untuk memastikan kestabilan di bahagian tengah dan kekurangan kreativiti bagi merencanakan serangan berbahaya.

Namun begitu, Nafuzi dilihat seakan-akan sudah menjumpai kunci bagi menyelesaikan masalah tersebut ketika perlawanan menentang Kelantan FC pada Jumaat lalu dengan langkah kembali menurunkan Amirul Hisyam Awang Kechik.

Kehadiran Amirul Hisyam, 27 yang diletakkan di bahagian kiri barisan tengah skuad Sang Kenari itu dilihat berjaya mengkucar-kacirkan pertahanan lawan.

Meskipun dilihat bergelut mendapat minit permainan sejak dua musim lalu, kewibawaan pemain yang dikenali dengan panggilan Worm untuk beraksi di Liga Super sememangnya tidak boleh dinafikan.

Ini kerana sebelum itu, Amirul Hisyam sememangnya merupakkan tonggak utama barisan tengah selama beberapa musim termasuk ketika Cheng Hoe mengendalikan Kedah ketika musim 2016/2017.

Disebabkan itu, corak taktikal baharu itu dilihat berpotensi menjadi senjata rahsia buat skuad Sang Kenari dalam usahanya memberikan kejutan kepada Selangor FC dalam aksi tersebut.

Pada masa sama, ia juga dilihat bakal menghidupkan kembali prestasi Amirul yang agak tenggelam bersama pasukan Kedah sejak dua musim lalu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram