'Dia aset berharga kami', Cheng Hoe tampil pertahan anak buah


  • Podium
  • Ahad, 21 Mei 2023

Cheng Hoe percaya akan kebolehan pemainnya untuk membawa balik kemenangan dalam setiap perlawanan. — Facebook/Selangor FC

PENGENDALI Selangor FC, Tan Cheng Hoe, menegaskan bahawa penyerangnya, Ayron del Valle merupakan aset penting skuad Gergasi Merah dan bukannya 'scammer' seperti yang didakwa pengkritik.

Ini selepas penyerang kelahiran Colombia itu sekali lagi membuktikan ketajamannya di depan gawang apabila menjaringkan gol berganda ketika membantu Selangor menewaskan Perak FC 4-0 di Stadium Ipoh, Perak pada Sabtu.

"Dia adalah salah satu daripada aset yang kami ada, jadi kami bukan sekadar berharap dia boleh menjaringkan gol tetapi sumbangannya di bahagian serangan juga cukup penting.

348559303_644083740391391_5370736200097781690_n

Ayron sebelum ini dikritik atas persembahannya yang kurang menyerlah. Facebook/Selangor FC

"Kerana dalam bola sepak, kami tidak boleh bergantung 100 peratus kepada Ayron. Tetapi, kami yakin dengan persefahaman dan kombinasi beberapa pemain utama dalam pasukan ini, ia boleh menghasilkan keputusan yang baik," katanya dalam sidang media.

Gol berganda Ayron dalam babak berbeza serta masing-masing satu gol daripada Faisal Halim dan Mukhairi Ajmal meletakkan Selangor FC kembali ke tangga kedua Liga Super dengan kelebihan perbezaan jaringan mengatasi pencabar terdekat, Sri Pahang FC.

"Sudah pasti adakalanya media mempersoalkan kebolehan dan keyakinan yang dimilikinya (Ayron) tetapi kami sebagai barisan kejurulatihan yakin dengan apa yang telah ditunjukkannya dalam latihan dan perlawanan," katanya.

Kemenangan itu menyaksikan Selangor kini mengumpulkan 25 mata selepas 11 perlawanan, kurang lapan mata di belakang pendahulu, Johor Darul Takzim (JDT). — Stadium Astro

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram