KEDUDUKAN penjaring terbanyak saingan Liga Super musim ini semakin hangat diperkatakan dengan beberapa pemain mula menunjukkan persaingan untuk merebut tempat tiga teratas.
Terbaharu, carta kedudukan itu mula melihatkan perubahan apabila tempat pertama kini diterajui oleh bintang import pasukan Johor Darul Takzim (JDT), Fernando Forestieri dengan 10 jaringan berjaya dicatatkan setakat ini.
Dua gol diperoleh ketika perlawanan menentang Kelantan United FC sebelum ini telah membantu pemain itu mendaki ke puncak carta sekali gus memintas penyerang import Selangor FC, Ayron del Vall yang kini jatuh ke tangga kedua.
Dalam pada itu, kedudukan tiga tangga teratas dijangka bakal didominasi trio JDT dengan dua lagi pemain dilihat sedang cuba mengekori rapat penyerang kelahiran Colombia tersebut.
Bergson da Silva dan Arif Aiman Hanapi kini sedang berusaha sehabis baik untuk melengkapkan tiga kedudukan teratas apabila masing-masing kini kekal dengan enam dan lima jaringan setakat ini.
Fernando Forestieri kini menghuni tangga teratas senarai penjaring terbanyak Liga Super musim ini. — FAM
Beberapa penyokong turut melaungkan keyakinan terhadap kedua-dua pemain terbabit dengan persembahan cemerlang ditampilkan, dijangka mampu memintas penyerang Selangor tersebut.
Perlawanan seterusnya nanti bakal menemukan JDT dan Kuching City FC pada Jumaat nanti dan ia semestinya merupakan medan terbaik buat trio Harimau Selatan itu terus menjulang nama dalam senarai penjaring berkenaan.
"Lawan Kuching City nanti memang penting buat Forestieri, Bergson dan Arif untuk menduduki tiga teratas dalam senarai penjaring, kekal taktikal menyerang mesti boleh," kata Amar Haikal.
"Boleh pintas Ayron kalau ikutkan prestasi semasa, beza gol pun tak jauh hanya satu atau dua sahaja dengan pemain Selangor itu," ujar Syafiq Shuib.
"Bergson betul-betul buat 'comeback', sedangkan dia berehat empat perlawanan awal sebab kecederaan, padu beb dia ni silap-silap boleh naik puncak terus," tambah Zuolz Zain.
Sasaran peminat untuk menyaksikan trio JDT itu mengungguli senarai tiga penjaring terbanyak musim ini dilihat kekal realistik dengan prestasi konsisten dimainkan ketiga-tiga individu itu pastinya mampu dicapai pada penghujung musim ini.
Dalam pada itu, tumpuan penyokong turut tertumpu ke arah satu-satunya kelibat pemain tempatan iaitu Arif Aiman yang menjadi sandaran serta harapan penyokong untuk memastikan sekurang-kuranya ada pemain kebangsaan yang tergolong dalam senarai tersebut.
Diapit lapan lagi individu lain yang terdiri daripada pemain import, pemain sayap Harimau Malaya itu menjadi wakil tunggal negara yang berjaya memasuki carta tersebut setakat ini.
Bakal beraksi di tempat lawan, pertemuan dengan Kuching City nanti pastinya akan digunakan sebaik mungkin oleh anak-anak buah Estaban Solari untuk terus merampas tiga mata berharga sekali gus mengekalkan kedudukan mereka di puncak liga. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram