[VIDEO] Acah samseng serang 'junior' sekolah, 4 remaja termasuk penuntut U kena cekup di Sibu


  • 112
  • Rabu, 17 Mei 2023

Tangkap layar insiden pergaduhan melibatkan sekumpulan pelajar sekolah di Jalan Intan, Sibu, Sarawak.

SEKUMPULAN pelajar dirakam terlibat dalam satu pergaduhan di kawasan parkir kereta dekat Jalan Intan, Sibu, Sarawak pada Isnin.

Difahamkan, insiden terbabit melibatkan pelajar tingkatan lima yang menyerang 'junior' tingkatan tiga yang tidak dikenali.

Susulan kes tersebut, dua pelajar dan dua penuntut universiti telah ditahan selepas dipercayai menyerang pelajar tingkatan tiga di kawasan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Zulkipli Suhaili berkata, tangkapan itu susulan laporan dibuat pelajar berusia 15 tahun pada pukul 8.52 malam Isnin lalu.

Berdasarkan laporan, pelajar terbabit memaklumkan dia dipukul berapa individu termasuk pelajar sekolah sama di kawasan parkir kereta.

"Justeru, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu melakukan empat tangkapan di beberapa lokasi antara pukul 9 hingga 11 malam yang sama.

"Kesemua suspek yang ditangkap berusia antara 14 hingga 19 tahun," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Zulkipli berkata, polis turut terkesan video pergaduhan itu yang disebarkan di laman sosial berdurasi 50 saat.

"Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan video yang boleh mengganggu keharmonian dan ketenteraman awam," katanya.

Kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 506/323 Kanun Keseksaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram