SKUAD Sabah FC ketika ini sudah mencatatkan sebanyak 60,390 jumlah penonton ke Stadium Likas sejak bermula saingan Liga Super musim ini.
Kiraan itu boleh dianggap sebagai satu pencapaian membanggakan buat pasukan The Rhinos yang sekaligus membuktikan betapa kuatnya sokongan diraih dalam kalangan penyokong selepas 10 perlawanan ditempuhi setakat ini.
Namun, jumlah tersebut masih belum mencukupi buat pengurusan pasukan Sabah yang mensasarkan sebanyak 75,000 penonton memenuhi ruang stadium dan perkara itu cuba dijelmakan dalam perlawanan berikutnya menentang Terengganu FC pada 19 Mei nanti.
Pasukan Sabah FC berjaya mencatatkan lebih 60,000 jumlah penonton dalam saingan liga setakat ini. — Facebook/SabahFC
Namun, sasaran tinggi yang ditetapkan oleh pengurusan pasukan itu menerima pelbagai komen dan spekulasi dalam kalangan penyokong setia The Rhinos dengan rata-ratanya menggesa lebih banyak publisiti dan promosi dilakukan oleh pasukan terbabit dalam melariskan jualan tiket.
Salah seorang penyokong di Facebook, Puja Rasa mencadangkan empat langkah yang boleh dilaksanakan oleh pengurusan Sabah sekiranya mahu lebih ramai penonton turun ke stadium dalam perlawanan akan datang.
"Boleh asalkan publisiti lebih, setakat ini kebanyakan penonton Sabah tahu daripada Facebook sahaja berkenaan jadual perlawanan, cuba tambah lagi rangkaian promosi dengan TV1,2,3 ataupun kolaborasi dengan YouTuber.
"Turunkan juga kepada majlis daerah di setiap kawasan Sabah untuk buat pengumuman seperti naik kereta dan guna pembesar suara pusing pekan di sesebuah daerah, baru la promosi namanya.
"Selain itu, setiap pembelian tiket adakan bonus untuk melihat satu lagi perlawanan.
"Contohnya, di Stadium Likas adakan tiket percuma untuk perlawanan seterusnya untuk tarik penonton datang ke stadium," ujarnya.
Kurang menjalin kerjasama dan rangkaian dengan pihak yang mempunyai jaringan luas menjadi salah satu punca mengapa perlawanan di Stadium Likas sukar dipenuhi penonton.
Dalam pada itu, seruan tersebut turut mendapat sokongan ramai dengan rata-ratanya sudah membuat perancangan dan pembelian tiket dari mula lagi.
Sabah mendapat sokongan padu ketika beraksi menentang pasukan Kelantan FC di Stadium Likas. — Facebook/SabahFC
Hanya memerlukan sekitar 14,000 jumlah penonton dalam pertemuan menentang skuad Penyu nanti, sasaran 75,000 jumlah penonton diyakini mampu dicapai melihatkan komen di Facebook yang kebanyakannya semakin bersemangat untuk ke stadium.
"Terbaik, ini kali pasti penuh stadium kita lawan sampai habis," kata Alif Hamid.
"Sasaran itu boleh dicapai dengan kehadiran 14,000 dalam perlawanan nanti, janji pemain hiburkan kami dengan permainan yang menarik," ujar Azri Bech.
"Kalau boleh jangan kasi ada ruang di stadium, biar padat asal boleh bernafas pasti pemain pun akan bermain bersungguh-sungguh atas padang," tambah Hage Husin.
Untuk rekod, prestasi anak-anak buah Datuk Ong Kim Swee itu boleh dikatakan cemerlang dengan dua perlawanan terdahulu menyaksikan kemenangan berpihak kepada skuad The Rhinos dan semestinya momentum itu mahu diteruskan menjelang pertemuan dengan pasukan Terengganu nanti. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram