Kes kuarters guru penuh lipas, Exco Pendidikan Negeri Sembilan kumpul maklumat sebelum bertindak


  • Massa
  • Khamis, 18 Mei 2023

Tangkap layar keadaan syiling kuarters didiami seorang guru yang dipenuhi najis burung dan lipas di Negeri Sembilan baru-baru ini.

SUSULAN isu kuarters kediaman guru yang didakwa kotor dan berlipas di Negeri Sembilan baru-baru ini, pihak berkuasa mula membuka mata tentang hal tersebut dengan rakaman tular itu akan disiasat segera.

Exco Pendidikan dan Modal Insan Negeri Sembilan, Datuk Dr Mohamad Rafie Ab. Malek berkata, isu tular tersebut merupakan isu terbaharu dan pihaknya akan mengambil segala butir berkaitan rakaman berkenaan.

"Buat masa sekarang, saya masih belum maklum tentang perkara itu, namun pihak kami akan segera menjalankan siasatan berkaitan video berkenaan sebelum mula membuat tindakan.

"Tindakan akan diambil sebaik butir laporan diterima dan segalanya akan ditentukan dalam masa terdekat," ujarnya kepada Majoriti.

jkd

Mohamad Rafie Ab. Malek akan menjalankan siasatan segera berhubung kes tular di laman media tersebut. — Bernama

Berdasarkan rakaman tular tersebut, si perakam turut mendakwa telah beberapa kali membuat aduan berhubung masalah dihadapi namun maklum balas diterima adalah 'tiada bajet'.

Mengulas lanjut soal itu, Mohamad Rafie enggan memberikan sebarang komen berkaitan dakwaan berkenaan, sebaliknya beliau meminta sedikit masa untuk memeriksa laporan diterima.

"Saya tak boleh nak respons pada kenyataan itu, biar saya periksa dulu dengan pihak berkenaan baru boleh ditentukan kesalahan dan tindakan seterusnya," katanya.

Sementara itu, pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) ketika dihubungi Majoriti berkata, akan memanjangkan perkara tersebut kepada bahagian yang terlibat untuk siasatan lanjut.

"Kami akan maklumkan kepada jabatan yang terlibat manakala laporan rasmi akan dikeluarkan dalam masa terdekat," katanya.

Terdahulu, seorang individu lelaki dikenali sebagai @TheTehOriginal di laman Twitter meluahkan rasa kecewanya selepas aduan berkenaan kuarters kediamannya yang dipenuhi najis burung tidak dilayan.

Isu itu sememangnya menarik perhatian ramai kerana ia diluahkan pada Selasa iaitu sehari sebelum sambutan Hari Guru yang disambut setiap 16 Mei di seluruh negara. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram