BEKAS Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri Malaysia kelapan, Datuk Dr Marzuki Mohamad membidas kenyataan Lim Guan Eng yang mencabar Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin menamakan menteri DAP yang pernah cuba menyelesaikan kes Jill Ireland di luar mahkamah.
Ia susulan kes semasa pentadbiran Pakatan Harapan terdahulu apabila seorang Kristian Melanau dari Sarawak, menunggu keputusan Mahkamah Tinggi mengenai permohonannya untuk pengisytiharan bahawa dia mempunyai hak untuk menggunakan perkataan ALLAH.
Mengulas lanjut berhubung isu tersebut, Marzuki menerusi hantaran di laman Facebook peribadinya pada Rabu menggesa Guan Eng untuk tidak mencabar bekas perdana menteri itu kerana ia hanya membuang masa.
"Lim Guan Eng tak payah cabar Tan Sri Muhyiddin supaya dedahkan siapa menteri DAP yang minta kes kalimah Allah diselesaikan di luar mahkamah. Tak payah Tan Sri Muhyiddin dedah. Saya pun boleh sebut siapa menteri tu.
"Tapi perangai DAP sekarang ni dah jadi macam perangai Lee Kuan Yew dulu. Kita sebut saja nama, disamannya kita.
'Jadi daripada kita buang masa, buang duit kena saman, saya cadang beginilah senang. Kerajaan 'declassify' saja minit mesyuarat Kabinet yang bincang isu kalimah Allah masa zaman PH dulu.
"Declassify semua, jangan sekerat-sekerat, jadi kita tahulah menteri mana cakap apa. Tak payah nak dakwa dakwi lagi," ujarnya.
Jelasnya, kerajaan di bawah pemerintahan PH sebelum ini pernah membentuk satu Jawatankuasa Khas Menteri bagi membincangkan kes tersebut di luar mahkamah.
Mencabar Guan Eng untuk mendedahkan butir perbincangan terdahulu, beliau meminta DAP membuktikan setiap prinsip yang diperjuangkan parti itu selama ini.
"Dedahkan apa butir perbincangannya. DAP pun memang perjuangkan prinsip Competence, Accountability, Transparency (CAT) kan? Jadi, ini kira transparency lah.
"Berani ke Guan Eng?," soalnya dalam hantaran tersebut.
Terdahulu, Pengerusi DAP itu turut mengkritik Muhyiddin kerana cuba mengaitkan DAP dalam pertikaian baru-baru ini berhubung keputusan kerajaan menarik balik rayuannya dalam kes Ireland.
Guan Eng telah menyaman Muhyiddin pada Mac selepas presiden Bersatu itu mendakwa dia telah membatalkan status pengecualian cukai Yayasan AlBukhary. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram