SEORANG ibu meluahkan kemarahan selepas anaknya didenda berjemur di tengah panas akibat lewat 10 minit tiba di sebuah sekolah agama dekat Masai, Pasir Gudang, Johor Bahru, Johor pada Selasa.
Difahamkan, anaknya yang berusia tujuh tahun itu diasingkan daripada pelajar lain ketika sesi perhimpunan di sekolah terbabit dan didenda berdiri di bawah cuaca terik sekitar pukul 2 petang.
Lebih memilukan, guru serta pelajar lain dikatakan berada di kawasan teduh yang berbumbung dan ia sekali gus mencetuskan persoalan sejauh mana tahap perlindungan pihak sekolah terhadap kes strok haba yang berlaku ketika ini.
Dikongsikan di laman TikTok @DvaFella, rakaman video itu memaparkan situasi pelajar tersebut yang didenda di sekolah berkenaan.
Menurutnya, tindakan guru ustazah yang menjatuhkan hukuman denda terhadap anaknya sukar untuk diterima dengan cuaca panas terik yang melanda ketika ini.
"Dalam pada pihak KPM ambil langkah berjaga-jaga di musim panas, anak aku pula kena denda dengan ustazah berjemur di tengah panas atas alasan lambat ke sekolah.
"Dah la diasingkan, anak aku seorang diri bawah panas terik sedangkan guru lain pandai pula berteduh bawah koridor.
"Musim panas kematian akibat strok haba pun makin banyak, kalau buatnya anak aku rebah masa itu siapa nak bertanggungjawab, sudahnya lepas tangan ibu bapa juga kena hadap," ujarnya.
Dalam pada itu, belum ada sebarang kenyataan rasmi daripada pihak Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) berhubung isu tersebut dan si perakam juga tidak memuat naik sebarang status terkini susulan perkara berkenaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram