ISU minyak hitam terpakai dan kitar semula semakin hangat diperkatakan di laman media kebelakangan ini. Masalah itu didakwa masih gagal dibendung oleh pihak berwajib dan sering kali dihadapi oleh pemilik kenderaan.
Diibaratkan sebagai 'jantung' di bahagian komponen enjin kereta, keperluan minyak hitam yang berkualiti dan asli amat dititikberatkan oleh sesetengah pengguna yang ingin mengekalkan kualiti pemanduan di tahap terbaik.
Namun, masih ramai yang gagal mengenal pasti dan membuat perbandingan sama ada bahan pelincir itu bersifat asli ataupun tidak dengan lambakan pusat servis kenderaan ketika ini dikatakan sering memperdaya orang ramai dengan taktik serta modus operandi yang licik.
Mengulas lanjut berhubung hal tersebut, pakar automotif, Gan Yong Li atau lebih dikenali sebagai Abang Gan, membongkarkan beberapa cara untuk mengenal pasti tahap keaslian minyak hitam kereta yang dijual di pasaran.
"Pengguna perlu sentiasa berwaspada ketika membeli minyak hitam kerana segelintir bengkel ataupun pusat servis memang jual minyak yang dikitar semula.
"Susah sebenarnya untuk kita kenal pasti perbezaannya tetapi saya nasihatkan orang ramai jangan terlalu obses untuk membeli minyak yang berharga murah.
"Harga promosi tak pernah wujud sebenarnya, jadi yang dijual di pasar raya itu semua kebanyakannya minyak yang diimport atau yang dikitar semula, sebab itu harga dia jauh berbeza dan murah," ujarnya kepada Majoriti.
Gan Yong Li menasihatkan orang ramai sentiasa berwaspada ketika membeli minyak hitam kenderaan. — Instagram/abangganyl
Selain itu, Gan Yong yang juga merupakan pempengaruh media sosial menjelaskan bahawa terdapat beberapa pusat bengkel yang menjadi mangsa penipuan pengedar minyak hitam palsu di negara ini.
Menurutnya, golongan pengedar juga turut bertanggungjawab dalam hal ini apabila sering mensasarkan bengkel ataupun pusat servis kenderaan yang baru beroperasi, dengan menjadi pengedar rasmi di premis mereka.
"Ada juga kes pengedar yang memang buat duit poket apabila menjual minyak hitam yang dikitar semula secara pukal kepada pusat bengkel tidak ternama.
"Mereka akan datang dengan pelbagai pakej promosi dan tarikan, walhal ia bukan daripada bahan asli seperti diperkatakan," katanya.
Tegas beliau, perbezaan dari segi pembalut dan saiz penutup betul boleh menjadi rujukan bagi pengguna di luar sana untuk memastikan ia bukan minyak yang dikitar semula.
"Ada beberapa perbezaan kalau kita lihat pada pembungkusan minyak hitam itu sendiri dan pengguna boleh kesan melalui kod QR yang dilekatkan pada bungkusan minyak hitam tersebut," dedahnya.
Menggesa orang ramai untuk tidak mudah terpedaya dengan jualan promosi minyak hitam seperti yang dijual di pasar raya, sebaiknya pengguna diminta untuk mendapatkan khidmat nasihat daripada mekanik kereta yang sudah lama dikenali.
"Soal asli dan palsu ini sebenarnya yang lebih arif adalah mekanik yang bertugas, mereka lebih mengetahui tahap kelikatan minyak hitam yang sepatutnya.
"Lebih baik berbelanja tinggi sedikit daripada taksub dengan harga promosi yang melampau murah kerana daripada situ kita dah tahu yang ia merupakan minyak kitar semula," katanya lagi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram