PERSEMBAHAN dipamerkan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) di saingan Liga Super musim ini semakin hangat diperkatakan susulan prestasi yang kurang konsisten jika dibandingkan dengan musim lalu.
Menghuni tangga kelima di carta liga setakat ini menyaksikan Kedah kini hanya mampu bertahan dengan 19 mata selepas berjaya meraih tiga mata dalam perlawanan terakhirnya ketika menewaskan Negeri Sembilan FC.
Namun, rata-rata penyokong masih kurang berpuas hati dengan aksi dipamerkan penyerang import Kedah, Willian Lira yang dikatakan masih tercari-cari rentak bersama rakan sepasukan.
Meskipun berjaya menghasilkan lima gol dalam 10 penampilan setakat ini, Willian kekal menerima kritikan dan kecaman di laman Facebook apabila dilihat tumpul dalam melakukan percubaan ke arah gawang lawan.
Peminat mula menggesa agar pemain itu ditukar ganti dengan individu lain yang lebih layak sekiranya gagal membuktikan peningkatan dalam tiga perlawanan seterusnya nanti.
"Tengok tiga perlawanan selepas ini bertemu Kelantan, Selangor dan Sabah, kalau dia dapat tunjukkan dia berbaloi untuk terus dikekalkan okay boleh kekal, tapi kalau tenggelam timbul lebih baik tukar dengan yang lebih layak.
"Apa-apa pun pengurusan sepatutnya dah mula risik pemain terutamanya penyerang import, sentiasa kena ada langkah bersedia bukan hanya syok sendiri," ujar Tae Zakree.
Justeru, berikut tiga perubahan yang perlu diperbaiki segera oleh Willian Lira menjelang perlawanan berikutnya nanti atau kelibatnya akan disingkirkan oleh pengurusan KDA FC kelak.
Peminat memberikan Willian Lira tiga lagi aksi perlawanan untuk membuktikan dirinya berbaloi di Kedah FC. — Facebook/KDAFC
1. Tambah stamina dan tingkatkan kecergasan
Sesetengah pihak menggesa pemain kelahiran Brazil itu segera menambah baik stamina dan tahap kecergasan diri kerana kelibat pemain itu dikatakan sering gagal melawan kepantasan pemain pertahanan.
Selain itu, kelajuan pemain ini turut diragui apabila kerap dipintas benteng pertahanan tatkala merebut bola di udara mahupun hantaran lorong rakan sepasukan.
Dengan tahap kecergasan yang kurang memuaskan ketika ini, ia menjadi punca utama mengapa Willian gagal merobek ke gawang lawan meskipun memiliki banyak peluang terhidang.
2. Cipta keserasian bersama rakan sepasukan
Kerjasama dan keserasian utama merupakan kunci utama dalam setiap pasukan dengan perkara itu perlu dibentuk untuk membuahkan kemenangan.
Namun, Willian dikatakan masih gagal membaca baik setiap gerak-geri rakan sepasukannya apabila kurang menyengat ketika menerima hantaran pemain.
Kurang cekap dalam membuka permainan dan membuat hantaran lorong ke arah rakan sepasukan, pemain itu juga kerap kali kehilangan bola selepas gagal membaca hantaran dari pasukannya.
3. Kaji gaya permainan pihak lawan
Sebagai penyerang utama pasukan, sudah menjadi kewajipan untuk seseorang pemain itu memiliki kebijaksanaan dalam mengkaji corak permainan lawan.
Willian perlu lebih kreatif dan licik dalam membuat asakan terhadap penjaga gol mahupun pemain di benteng pertahanan kerana ia mampu diterjemahkan kepada gol sekiranya kerap dilakukan.
Dalam aksi terdahulu, Willian sebaliknya lebih gemar menunggu hantaran dan kurang agresif dalam perebutan bola di kotak penalti pasukan lawan.
Justeru, tiga perubahan di atas digesa penyokong untuk diperbaiki oleh penyerang import terbabit dengan sandaran masih diletakkan terhadapnya menjelang perlawanan menentang Kelantan FC pada 19 Mei nanti.
Namun, segalanya bergantung kepada pendirian pemain itu sama ada mahu terus beraksi bersama Sang Kenari ataupun tidak dan tiga perlawanan selepas ini bakal menjadi medan taruhan buat penyokong setia Kedah. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram