SUSULAN kemenangan 3-2 diraih pasukan Perak FC ke atas Kelantan pada perlawanan ke-10 Liga Super pada Jumaat, pemerhati bola sepak tanah air kini sudah mula membuka mata akan prestasi meningkat naik dipamerkan skuad Seladang pada musim ini.
Meskipun ia merupakan kemenangan kedua daripada sepuluh perlawanan dihadapi, anak-anak buah Datuk Lim Teong Kim sudah mula menunjukkan keserasian serta semangat berpasukan yang dicari selama ini apabila hantaran serta kawalan bola dimainkan lebih kemas dalam perlawanan kali ini.
Skuad Seladang yang terlebih dahulu dibolosi seawal minit ke-14, seolah-olah telah mencetuskan kebangkitan pemain Perak apabila semakin ganas dalam membuat asakan bertali arus ke kubu pertahanan lawan.
Gol penyamaan akhirnya berjaya diperoleh hasil kecuaian ketua pasukan Kelantan, Muhammad Yusri Yuhasmadi yang tertampan masuk bola ke gawang sendiri pada minit ke-35 permainan yang sekali gus menyaksikan dua lagi gol tambahan berjaya diraih oleh Perak yang mengesahkan tiga mata penuh diraih di Stadium Sultan Muhammad, Kota Bharu, Kelantan.
Dalam pada itu, beberapa nama mula meniti di bibir penyokong Perak susulan aksi cemerlang dipamerkan pada perlawanan tersebut dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sementara Perak FC, Bobie Farid Shamsudin turut memuji empat pemain yang diturunkan dalam pertemuan tersebut.
Berkongsi pandangan menerusi laman Facebook TBG Super Fan, kehadiran empat pemain iaitu Wan Zack Haikal, Luciano Guaycochea, Alif Zikri dan Che Suhairi telah mengubah corak pemainan skuad Seladang apabila berjaya memperoleh kemenangan kedua pada musim ini.
"Banyak nak diperbaiki lagi namun Lucho, Wan Zack, Che Suhairi dan Alif Zikri bawa perubahan besar.
"Bayangan kesebelasan utama dah nampak namun pertahanan kita perlu lebih mantap," ujarnya.
Paling mencuri perhatian semestinya kelibat bekas pemain kebangsaan, Wan Zack Haikal yang pertama kali diturunkan sebagai kesebelasan utama selepas kerap dimasukkan sebagai pemain gantian dalam perlawanan terdahulu.
Wan Zack Haikal antara pemain berpengalaman yang beraksi cemerlang membantu skuad Seladang meraih kejayaan ke atas Kelantan FC. — Facebook/PerakFC
Kerap kali melakukan percubaan dan hantaran merbahaya ke dalam kotak penalti pasukan lawan, sesetengah pihak beranggapan pemain itu selayaknya diberikan mandat sebagai kesebelasan utama dalam setiap perlawanan akan datang.
"Aku minat dengan gaya permainan Wan Zack ni, rajin buat hantaran dan tak mudah hilang bola, yang penting ada semangat berpasukan yang tinggi boleh bantu rakan sepasukan jaringkan gol," ujar Nazim Rahmad.
Selain itu, tiga lagi pemain yang disebut sebagai wira skuad Seladang pada perlawanan itu, Che Suhairi, Alif Zikri dan penyerang import Luciano Guaycochea masing-masing hadir dengan kelebihan tersendiri apabila beraksi sehabis baik di atas padang dengan dua gol hasil jaringan Luciano dan Che Suhairi antara yang paling diingati peminat.
Perkara itu diakui sendiri oleh Bobie Farid yang menganggap jaringan kedua-dua pemain itu berada di kelas tersendiri.
"Gol Lucho dan Che Suhairi tu kelas, tidur tak payah buka penghawa dingin, kipas pun tutup," jelasnya.
Bertitik tolak daripada keputusan cemerlang itu, penyokong mula memandang serius akan kebangkitan dipamerkan skuad Perak FC susulan persembahan bermutu tinggi dipamerkan anak-anak buah Teong Kim.
Perlawanan berikutnya bakal menemukan Perak dan Selangor FC pada 20 Mei depan di Stadium Negeri Perak Darul Ridzuan dan semestinya ia antara perlawanan tumpuan susulan tiga mata penuh yang akan menjadi rebutan bagi memperbaiki kedudukan masing-masing di carta liga musim ini.
Justeru, harapan peminat semestinya mahu menyaksikan keempat-empat pemain itu kekal diturunkan sebagai kesebelasan utama dengan sandaran serta mata pemerhati kini tertumpu kepada aksi mereka di atas padang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram