PERTEMUAN pasukan Perak FC dan Selangor FC pada 20 Mei nanti bakal menjadi perlawanan tumpuan bagi peminat serta pemerhati bola sepak tanah air.
Dilabel sebagai perlawanan 'El Classico Malaya', saingan kedua-dua pasukan itu pastinya akan merebut tiga mata penuh bagi membaiki kedudukan masing-masing di carta liga musim ini.
Bakal melayan kunjungan skuad Gergasi Merah di Stadium Negeri Perak Darul Ridzuan, pasukan Perak yang masih lagi segar dengan kemenangan dicatatkan ketika bertemu Kelantan FC sebelum ini pastinya mahu meneruskan momentum cemerlang itu kelak.
Justeru, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perak FC, Bobie Farid Shamsudin meminta seluruh penyokong skuad Seladang untuk hadir bagi memeriahkan serta menggamatkan lagi suasana di stadium menjelang perlawanan tersebut.
Bobie Farid (tengah) mahu pasukan Perak kekal konsisten pada musim ini. — Facebook/PerakFC
Enggan dikecewakan di hadapan penonton sendiri, Bobie Farid menganggarkan kira-kira 3,000 penyokong akan memenuhi kerusi stadium nanti.
"Kita sambut kedatangan Gergasi Merah untuk bertandang ke Stadium Perak pada 20 Mei ini.
"Kepada penyokong TBG, kita anggarkan dalam 3,000 akan hadir dengan pelbagai sentimen yang dibaca di laman media ketika ini.
"Kehadiran rakyat Perak untuk perlawanan ini sangat diharapkan walaupun secara realitinya agak sukar untuk kita memenuhkan stadium untuk pertemuan itu," ujarnya.
Sedar akan kelebihan dan kekuatan dimiliki pasukan Selangor, beliau berpendapat skuadnya perlu bekerja keras untuk memenangi perlawanan terbabit.
"Di atas kertas Selangor nampak semakin dominan dengan kini mengutip 22 mata dan berada di kedudukan kedua liga.
"Kehadiran anda semua sebelum jendela perpindahan kedua akan membantu pasukan untuk bersedia di pusingan kedua nanti.
"Namun saya tahu ia misi yang mustahil untuk menghadirkan 15,000 penyokong dalam perlawanan berkenaan," jelasnya.
Menyahut cabaran serta laungan CEO Perak itu, penyokong Seladang dijangka memenuhi stadium seperti yang dipinta.
Penyokong setia Perak dijangka memenuhi stadium menjelang pertemuan Selangor nanti. — Facebook/PerakFC
Ruangan komen di Facebook dipenuhi dengan kata-kata semangat penonton setia yang bakal menjadi pemain ke 12 menjelang pertemuan hangat itu nanti.
"Akan penuh stadium dengan 6,000 penonton bila pertemuan Perak dan Selangor, seteru yang penuh dengan sejarah gemilang dan pastinya menjanjikan pertembungan dinanti-nantikan peminat," kata Azzam Hidzer.
"Tarikh 20 Mei nanti mesti nak masuk stadium berlaga bahu, memang akan penuh dengan penyokong lagi-lagi bermain di Perak, kali ini perlu menang dan teruskan rentak cemerlang," ujar Khairul Nizzam.
"Perlawanan 'El-Classico Malaya', selalunya kalau Perak dan Selangor mesti penuh stadium, pertemuan musuh tradisi yang sentiasa panas walaupun dah tak sekutu," jelas Firdaus Amar.
Justeru, pertembungan kedua-dua pasukan itu akan menjadi saingan tumpuan pada musim ini dengan percaturan terbaik Lim Teong Kim di atas padang semestinya ditagih pemain mahupun penyokong skuad Seladang bagi meraih kemenangan berterusan dalam saingan musim ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram