SEKUMPULAN kanak-kanak dipercayai geng 'basikal lajak' yang bergiat aktif di sekitar Kampung Lembah Jaya Selatan, Ampang Jaya, Kuala Lumpur akhirnya menerima pengajaran berguna apabila ditahan seorang lelaki bertubuh sasa pada Selasa.
Difahamkan, kumpulan 'junior' tersebut kerap menjalankan aktiviti berbasikal di lewat malam selain turut mengundang bahaya dan kemalangan yang boleh berlaku di jalan raya.
Dalam sebuah video yang dikongsikan di laman Twitter memaparkan situasi kanak-kanak terbabit apabila ditahan seorang lelaki yang memarahi perbuatan mereka.
Diarah untuk memikul basikal masing-masing, rata-rata memuji tindakan tegas dipamerkan pemuda 'sado' berkenaan kerana kumpulan itu sebelum ini didakwa sudah beberapa kali dimarahi namun masih berdegil dan berpelakuan biadab terhadap orang ramai.
Salah seorang warganet, dipercayai penduduk di kawasan terbabit turut meluahkan pendapat berhubung rakaman tersebut.
"Memang bagus abang ni marah budak-budak itu, saya kenal dorang itu sebab beberapa kali terserempak di jalan raya, banyak kali tegur tapi dorang masih menunggang tengah malam dengan berbahaya," ujar Azmi Mokhtar.
"Saya pernah terkena dengan budak itu semua, main basikal lajak tengah jalan bila saya hon dimakinya saya balik siap tunjuk jari tengah," kata Ryna86.
"Terbaik bang sado, ada juga yang prihatin kalau tak buat macam ini dorang tak takut, kalau masih lagi berdegil selesai di balai je terus," jelas Frank Tiee.
Dalam pada itu, kesemua kanak-kanak terbabit akhirnya dibebaskan oleh pemuda berkenaan selepas masing-masing difahamkan merayu ketika diugut untuk dibawa ke balai polis.
Justeru, ibu bapa di luar sana digesa untuk memantau segala perbuatan dan aktiviti anak-anak di lewat malam dengan keselamatan mereka perlu dilindungi khususnya membabitkan penunggang basikal di jalan raya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram