‘Jangan tewas kali kedua,’ fans mahu Sabah guna taktik ‘parkir bas’ The Cops, sekat kemaraan JDT


  • Podium
  • Khamis, 20 Apr 2023

Sabah FC dijangka akan tebus kekalahan pada JDT menjelang pertemuan kedua pasukan itu nanti. — Facebook/SabahFC

KEKALAHAN dialami pasukan Sabah FC di tangan Johor Darul Takzim (JDT) pada bulan lalu masih meninggalkan kesan luka di hati penyokong.

Tewas 0-4 pada perlawanan keenam Liga Super musim ini, menyaksikan JDT merupakan sebuah pasukan yang masih gagal disekat mana-mana kelab apabila berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah dalam sembilan perlawanan setakat ini.

Terbaharu, PDRM menjadi mangsa amukan pasukan Harimau Selatan apabila ditewaskan dengan keputusan 0-1 di hadapan penyokong sendiri.

Namun, kekalahan itu dilihat sebagai satu perkembangan positif buat prestasi skuad The Cops apabila hanya dibolosi satu gol sahaja berbanding kelab-kelab lain yang kebanyakannya melebihi daripada tiga jaringan.

Mempamerkan taktik pertahanan mantap, PDRM berjaya mengekang asakan pasukan lawan apabila keputusan seri tanpa jaringan kekal pada separuh masa pertama.

PDPR

PDRM FC berjaya mengekang asakan jentera serangan JDT pada separuh masa pertama perlawanan tanpa jaringan. — Facebook/PDRMFC

Bersambung di babak kedua perlawanan, PDRM melipat gandakan usaha mereka apabila menambah bilangan pemain di benteng pertahanan dan beberapa tonggak utama JDT seperti Arif Aiman berjaya dirantai kemas oleh pemain pertahanan.

Bertitik tolak daripada itu, penyokong Sabah mula melihat ia sebagai salah satu cara terbaik untuk mengekang kemaraan JDT menjelang pertemuan kedua mereka pada Ogos nanti.

Meskipun taktik 'parkir bas' itu kurang digemari sesetengah pihak yang menganggap ia kurang berkesan untuk memperoleh kemenangan, namun dengan sedikit penambahbaikan di bahagian serangan, ia diyakini mampu mendatangkan hasil sekiranya The Rhinos mempraktikkan gaya permainan tersebut.

Salah seorang penyokong Sabah, Ahmad Fakrul berpendapat, taktikal pertahanan diturunkan pasukan PDRM boleh diguna pakai dan ditambah baik sekiranya berdepan dengan JDT nanti.

"Kali kedua lawan JDT nanti Sabah boleh guna taktik parkir bas PDRM, tapi kena letak pemain yang lincah di bahagian serangan untuk 'counter attack'.

"Nampak semalam Arif Aiman tak boleh gerak bila dirantai lebih daripada tiga pemain, yang penting jangan kalah lagi pada JDT selepas ini," ujarnya.

"Sabah perlu cari pemain-pemain yang laju dan pantas serta kreatif menyimpan bola, jadi pemain rajin macam ini akan bergerak ke depan untuk jaringkan gol lepas itu kekal disiplin bila bertahan.

"Taktik 'double defend' buat JDT mati kutu, strategi parkir bas dapat sekat Arif Aiman bila dua orang kawal dia begitu juga dengan rembatan dari luar kotak penalti," kata Julius Lexson.

JDT ketika ini kekal cemerlang di persada liga dengan kutipan sebanyak 27 mata jauh meninggalkan pesaing terdekatnya, Selangor FC yang hanya memperoleh 22 mata.

Menghuni tangga keempat carta liga, Sabah FC masih berpeluang untuk mendaki ke kedudukan kedua dengan perjalanan Liga Super masih lagi jauh di hadapan dan sebarang kebarangkalian boleh berlaku.

Meskipun pertemuan kedua skuad The Rhinos dan JDT berlangsung lama lagi, namun penyokong sudah mula melaungkan keyakinan dengan Sabah dijangka akan menebus kekecewaan lalu dengan strategi pertahanan yang diambil daripada skuad The COPS, mampu diterjemahkan kepada kemenangan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram