Bukan makin baik tapi bertambah sakit, hati-hati beli ubat tiruan online


  • Massa
  • Selasa, 02 Mei 2023

Isu ubat tiruan kian meruncing dan semakin banyak dijual secara atas talian kebelakangan ini. — Gambar hiasan

ISU jualan ubat-ubatan tiruan atau palsu kian meruncing kebelakangan ini dengan perkara itu gagal dibendung oleh pihak kerajaan mahupun pakar perubatan yang bertugas di hospital, klinik mahupun farmasi.

Masalah ini berpunca akibat sikap segelintir pihak yang mengambil kesempatan atas jualan ubat palsu di platform atas talian selain pengguna yang terlalu mementingkan diri sehingga sanggup menggadaikan kesihatan demi mendapatkan ubat dengan harga murah.

Meskipun ia melibatkan isu kesihatan diri, namun sesetengah pengguna masih terpedaya dengan ubat-ubatan yang dijual secara 'online' yang secara umumnya jauh lebih murah berbanding harga dijual di klinik ataupun farmasi.

Namun, doktor dan pakar perubatan di Malaysia sebulat suara bersetuju bahawa situasi itu perlu dilihat daripada aspek utama yang menyumbang kepada perkara berkenaan iaitu jualan secara atas talian yang dikatakan kurang bersesuaian untuk dipraktikkan di negara ini.

beas

Klinik dan farmasi kini bukan lagi jadi pilihan utama pengguna untuk mendapatkan ubat-ubatan. — Bernama

Menurut salah seorang pakar perubatan yang juga merupakan doktor farmasi, Faridah Ahmadiah, 48, berpendapat bahawa penjualan ubat secara atas talian perlu dihentikan serta merta.

"Jualan ubat ataupun barangan kosmetik secara 'online' perlu dihentikan atau diharamkan segera kerana tidak mendatangkan sebarang faedah kepada pengguna.

"Memang ada pihak yang ambil kesempatan jual murah atas talian tapi perlu berhati-hati juga kerana ubat yang dijual bukan semua yang asli, ada yang ambil daripada sumber terlarang dan ia palsu.

"Sekarang memang ramai yang beli atas talian, tapi mereka kena ingat ubat-ubatan ini perlu ada pantauan dan nasihat daripada pakar jadi kalau mereka beli secara 'online' memang tak ada, itu yang boleh jadi punca salah guna dan sudahnya pihak perubatan dipersalahkan bila dituduh edar ubat palsu," ujarnya kepada Majoriti.

Dalam pada itu, Faridah turut menggesa agar pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) lebih tegas dalam melakukan pemantauan dan kuat kuasa undang-undang berkaitan isu tersebut.

Jelasnya, isu ubat palsu memang sudah lama berlaku dan sehingga ke hari ini tiada tindakan diambil oleh pihak berwajib untuk membanteras ia daripada berterusan walhal punca utama sudah jelas lagi bersuluh kelihatan.

"KKM khususnya perlu adakan kaji selidik berkaitan isu ini, dah lama berlarutan kes berkenaan dan pihak doktor perubatan semuanya dah suarakan pendapat masing-masing tapi masih tiada perubahan dilakukan.

"Paling utama perlu haramkan jualan ubat secara atas talian kerana tiada deskripsi dan penjelasan doktor berkaitan ubat yang dibeli.

"Apabila pengguna terus beli jadi akan disalah guna dan jadi masalah lain sebab mereka tiada pengetahuan, hanya dapat maklumat melalui internet dan sosial media sahaja.

"Perlu ada petisyen berkenaan jual ubat 'online' sama ada ramai setuju ataupun tidak dan saya jamin semua pihak yang bertugas di sektor perubatan sebulat suara mahu ia dihentikan segera," tambahnya.

Memetik laporan media, dianggarkan 95.6 peratus farmasi dalam talian di negara ini beroperasi secara haram dengan 90 peratus daripadanya membekalkan ubat berdasarkan preskripsi tanpa preskripsi sah daripada doktor.

Ditambah pula dengan perkembangan teknologi yang semakin mendewasa ketika ini, platform atas talian perlu dipantau khususnya yang melibatkan ubat-ubatan dan perubatan kosmetik. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram