'Team kena ada otai', fans rindu kelibat BB7, harap diserap semula ke Kedah


  • Podium
  • Ahad, 23 Apr 2023

Skuad Kedah FC tewas kepada pasukan KL City FC dalam perlawanan kesembilan Liga Super musim ini. — Facebook/KDAFC

KEKALAHAN mengejut pasukan Kedah FC ke atas KL City FC pada perlawanan ke sembilan saingan Liga Super musim ini nyata meninggalkan kesan luka pada ribuan penyokong Sang Kenari.

Gagal meraih sebarang mata di hadapan penyokong sendiri, menyaksikan betapa skuad Nafuzi Zain seakan hilang rentak dan keupayaan di bahagian jentera serangan apabila terlebih dahulu dibolosi seawal minit ke 11 permainan.

Dalam pada itu, sebilangan penonton mula menghidu kelemahan serta kekurangan skuad Kedah pada musim ini selepas pasukan itu dikatakan buntu dalam merangka gerakan dan serangan ke atas pasukan lawan.

Ia susulan ketiadaan pemain senior ataupun otai yang mampu menggalas tugas sebagai perancang utama dan penggerak pasukan itu pada musim ini.

Penonton melihat masalah itu menjadi salah satu punca mengapa skuad Sang Kenari gagal konsisten dalam mencapai kemenangan setiap perlawanan sama seperti Johor Darul Takzim (JDT).

Mula membuat perbandingan dengan skuad Harimau Selatan, Safiq Rahim merupakan contoh terbaik boleh digambarkan dengan situasi di Kedah kerana pemain itu merupakan individu berpengalaman yang diperlukan oleh mana-mana pasukan.

"Pemain Kedah yang berpengalaman amat diperlukan, sekarang siapa otai Kedah dalam pasukan, JDT pun ambil semula Safiq Rahim jadi kenapa kita tidak," ujar Wadeey Kumbang.

"Kena ada seorang pemain yang berpengaruh untuk bagi semangat dan pimpin pasukan kita baru konsisten dalam perlawanan," ujar Faiz Tarmizi.

Justeru, bekas pemain sensasi Kedah, Baddrol Bakhtiar mula meniti di bibir peminat dengan kelibatnya kian ditagih dalam pasukan sebagai pencetus kebangkitan dan pendorong skuad Kedah untuk kembali ke zaman kegemilangan satu ketika dahulu.

bdl

Baddrol Bakhtiar merupakan pemain 'emas' pernah dimiliki pasukan Kedah FC satu ketika dahulu. — Facebook/KDAFC

Baddrol, 35, merupakan pemain berpengalaman pernah dimiliki skuad Kedah sebelum ini apabila mula menyarung jersi Hijau Kuning pada 2006 hingga 2021 sebelum anak jati Sungai Petani, Kedah itu mengambil keputusan untuk berhijrah ke Sabah FC.

Meskipun sudah beraksi selama dua musim di Sabah, namun rata-rata penyokong masih belum dapat melupakan segala bakti dan jasa pemain itu sepanjang bergelar pemain Kedah.

Mampu menggalas tanggungjawab sebagai ketua pasukan yang bagus, Baddrol juga memiliki gaya permainan menarik serta skil hantaran jauh yang tepat menemui ke kaki rakan sepasukannya.

Menggesa pihak pengurusan Kedah agar mempertimbangkan semula kemasukan pemain itu ke Kedah, harapan peminat yakin bahawa skuad Sang Kenari mampu bangkit daripada kegagalan sekiranya dipimpin oleh pemain tersebut.

"Kena ada aura macam Badd, 'team' kena ada otai baru boleh turunkan pengalaman dan cetus semangat kepada pemain muda," kata Ridzwan Uzair.

"BB7 calon paling sesuai, baru pasukan lebih harmoni bila ada seorang pemain berpengaruh macam dia, sekarang kita main bawah tekanan je banyak sebab kekurangan pemain berpengalaman," jelas Khairol Faiz.

Bertitik tolak daripada itu, majoriti penyokong Kedah mahu kelibat Baddrol Bakhtiar diserap semula ke pasukan itu dengan kendalian di bawah jurulatih berpengalaman, Nafuzi Zain, ia diyakini mampu menaikkan semula kegemilangan skuad Sang Kenari pada masa akan datang.

Selain kejuaraan yang dimahukan, penonton juga mahu pasukan itu memberikan saingan buat skuad Harimau Selatan yang kini semakin mendominasi Liga Malaysia (Liga M).

Perlawanan berikutnya bakal menemukan skuad Kedah dan Negeri Sembilan pada 28 April nanti dan tiga mata penuh pastinya menjadi buruan kedua-dua pasukan bagi meraih mata dan memperbaiki kedudukan di carta liga. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram