'Paling berbaloi', fans Tok Gajah harap pemain JDT tak pulang ke Selatan tanah air


  • Podium
  • Isnin, 01 Mei 2023

Skuad Tok Gajah berada di prestasi terbaik apabila masih belum mencatatkan sebarang kekalahan selepas 10 perlawanan Liga Super. — Facebook/Sri Pahang FC

KEJUTAN demi kejutan berjaya dicipta Sri Pahang FC dalam Liga Super musim ini selepas masih mengekalkan rekod tanpa kalah selepas 10 perlawanan.

Meskipun tersingkir daripada kancah Piala FA di tangan Selangor FC, kedudukan mereka di tangga ketiga liga sememangnya menjadi pemangkin terhadap penyokong yang tidak henti-henti memberi sorakan kepada mereka.

Bagi pihak luar, pencapaian luar jangkaa mereka pada 2023 tidaklah begitu memberangsangkan apabila mereka sering 'bernasib baik' apabila menjaringkan gol pada minit-minit akhir permainan.

Namun, berdasarkan pemerhatian lebih mendalam, kehadiran ketua jurulatih, Fandi Ahmad merupakan punca di sebalik kebangkitan skuad Tok Gajah berbanding musim lalu yang cukup suram.

Prestasi membanggakan mereka itu juga dikuatkan lagi dengan kehadiran beberapa pemain di barisan serangan mahupun pertahanan bagi meningkatkan kebolehan skuad.

Empat pemain yang hadir secara pinjaman dari Johor Darul Takzim (JDT) juga memainkan peranan penting apabila kesemua daripada mereka bermurah hati untuk berkongsi pengalaman masing-masing.

Penjaga gol, Izham Tarmizi serta pemain pertahanan tengah, Fadhli Shas sememangnya tidak perlu diperkenalkan lagi selepas kehadiran kedua-dua bekas pemain kebangsaan itu mengukuhkan lagi benteng pertahanan pasukan.

343799562_249840314278105_5967275583393191192_n

Azrif (kiri) ketika menyekat serangan daripada pemain Terengganu FC, Sony Norde. Facebook/Sri Pahang FC

Dua bek sayap, iaitu Azrif Nasrulhaq serta Syazwan Andik juga hadir dengan reputasi yang cukup tinggi selepas pernah tampil menjadi antara tonggak Harimau Selatan sepanjang beberapa tahun karier mereka.

Bagaimanapun, dengan JDT masih memerlukan khidmat pemain tempatan untuk tujuan penggiliran, terdapat kemungkinan besar keempat-empat pemain berkenaan bakal kembali pada penghujung musim 2023.

Hal itu pasti akan menghadirkan perasaan bercampur-baur dalam kalangan peminat setia Tok Gajah yang sepertinya masih mengharapkan pihak pengurusan kelab sekurang-kurangnya dapat mengekalkan khidmat mereka.

Dalam kalangan empat pemain itu, nama Azrif terus disebut-sebut agar terus kekal bersama pasukan Pantai Timur itu untuk sekurang-kurangnya satu musim lagi setelah sumbangannya cukup penting buat Sri Pahang FC musim ini.

82812603_1578429938986966_7890221828923195392_o

Azrif lebih kerap diletakkan di bangku simpanan sepanjang berada di JDT. Facebook/JOHOR Southern Tigers

"Azrif ini memang pemain yang sangat berbaloi untuk diambil secara tetap. Cuma, saya pun tidak pasti sama ada pengurusan Sri Pahang mampu membayar wang pampasannya untuknya keluar dari JDT," kata Shah Rizal Ijan.

"Saya memang sering mengikuti gaya permainannya dari perlawanan pertama sehingga perlawanan baru-baru ini menentang Terengganu FC. Dia ni boleh dikatakan sebagai antara pertahanan yang cukup padu sejak pemergian Matthew Davies," kata Zaid Abu Bakar.

"Mungkin kerana dia kerap beraksi di Pahang, itu yang nampak dia lebih bagus berbanding ketika dia berada di JDT. Mereka sememangnya jarang untuk menggunakannya," kata Leh Solleh.

Walaupun lebih terkenal sebagai seorang penyerang, kerelaannya untuk diturunkan sebagai pemain sayap bertahan menjadikannya sebagai salah seorang tonggak dalam skuad kendalian Fandi.

Ketangkasan, stamina serta kebolehannya untuk menyekat gerakan serangan pihak lawan sering menjadi kunci utama apabila pasukan berkenaan terus mencatatkan rekod pertahanan yang baik selepas 10 perlawanan.

Setakat ini, pemain berusia 31 tahun itu terus diletakkan dalam kesebelasan utama untuk kesemua perlawanan, termasuk ketika dua pertembungan Piala FA bersama Selangor FC dan Perak FC. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram