Lupakan terus Hidalgo, Tok Gajah ada 3 sebab sambar bintang samba Brazil sehebat Neymar


  • Podium
  • Isnin, 01 Mei 2023

Renato pernah bergandingan dengan Neymar Jr ketika sama-sama mewakili Brazil di pentas Piala Dunia 2018. — Agensi

PRESTASI yang dipamerkan Sri Pahang FC dilihat semakin meningkat pada ketika ini walaupun kehilangan tonggak pemain importnya utama iaitu Manuel Hidalgo dan Lee Tuck yang berpindah ke Kedah Darul Aman FC (KDAFC).

Perpindahan kedua-dua pemain itu sedikit sebanyak merencatkan cara permainan skuad Tok Gajah, namun ia tidak menghalang pasukan tersebut untuk terus maju ke depan.

Sepanjang 10 perlawanan aksi Liga Super, skuad kendalian Fandi Ahmad itu masih mengekalkan rekod tanpa kalah. Namun, ada dalam kalangan penyokong berasakan pasukan mereka itu masih belum cukup kuat untuk mengekalkan konsistensi dalam setiap perlawanan.

Ketumpulan barisan serangan terutamanya menjadi kerisauan buat para penyokong Sri Pahang yang hanya menjaringkan 17 gol daripada 10 perlawanan.

Sehubungan itu, pasukan itu semestinya memerlukan seorang pemain import yang boleh menggantikan tempat Manuel Hidalgo untuk mengekalkan momentum mereka pada musim ini.

Terbaharu, seorang pemain dari Brazil, Renato Augusto dikhabarkan akan mengganti kekosongan yang ditinggalkan oleh Hidalgo.

1

Renato Augusto dikhabarkan akan mengganti tempat Manuel Hidalgo. — Agensi

Walaupun hanya khabar angin, namun nama pemain berketinggian 186 sentimeter ini sudah mula menjadi bahan bualan dalam kalangan penyokong Sri Pahang FC sendiri.

Berikut adalah tiga kelebihan Renato Augusto jika dia menyertai skuad Tok Gajah:

1. Pengalaman beraksi di pelbagai kelab terkemuka

Renato memulakan kariernya pada 2007 dan dengan usia menjangkau 35 tahun, Renato sudah pastinya mempunyai pengalaman yang banyak dalam industri bola sepak dunia.

Selain bermain untuk pasukan kebangsaan Brazil, figura itu juga pernah beraksi dengan kelab bola sepak terkemuka di Eropah seperti Bayer Leverkusen yang berpangkalan di Jerman.

Selain itu, dia juga pernah beraksi di Liga China bersama Beijing Guoan pada musim 2021.

2. Mampu beraksi di beberapa posisi

Renato juga mampu bermain di pelbagai posisi yang mana ini akan memberikan kelebihan pada skuad Sri Pahang FC.

Selain boleh bermain di posisi tengah menyerang, pemain kelahiran Brazil itu juga boleh menggalas tugas sebagai pemain sayap kanan dan penyerang.

Selain itu, dia juga memiliki fizikal kelajuan, ketajaman dan kekuatan fizikal serta kematangan ketika di atas padang sekali gus mampu mengucar-ngacirkan permainan pihak lawan.

Kelebihan itu dilihat amat sesuai bagi menggantikan ketiadaan Hidalgo yang sememangnya terkenal kerana kelincahan di atas padang.

2

Renato merupakan pemain skuad antarabangsa Brazil. — Agensi

3. Pemain prolifik berstatus bintang dunia

Renato merupakan pemain yang cukup disegani dan berada dalam liganya tersendiri.

Di Brazil, dia berkhidmat dengan kelab Corinthians yang beraksi dalam Liga 1 Brazil.

Bergelar bintang dunia, pemain yang pernah merangkul gelaran Footballer of the Year pasukan Brazil bagi 2015 itu juga merupakan pemain skuad antarabangsa Brazil.

Bahkan perlu diketahui bahawa dia pernah bergandingan dengan Neymar Jr ketika sama-sama mewakili Brazil di pentas Piala Dunia 2018.

Justeru, dengan kualiti yang dimiliki, Renato dirasakan bakal membawa satu dinamik berbeza kepada pasukan Sri Pahang jika khabar angin tersebut menjadi kenyataan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram