BAGI menghadapi temasya Sukan Asia Tenggara (Sukan SEA) 2023 yang bakal bermula pada 5 Mei, skuad bola sepak negara mula melakukan persiapan serius.
Berdasarkan pengumuman yang dikeluarkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada Isnin, seramai 25 pemain sudah dipanggil bagi menyertai kem latihan bermula 19 April sehingga 2 Mei akan datang.
Tumpuan pastinya diberikan kepada skuad yang dipanggil ketua jurulatih, E Elavarasan yang baru-baru ini mengungguli saingan Piala Merlion pada hujung Mac lalu.
Luqman Hakim terus bergelut untuk mendapatkan tempat dalam skuad kebangsaan.
Namun, apa yang lebih menarik perhatian adalah ketiadaan penyerang muda, Luqman Hakim Shamsudin yang ketika ini bersama kelab Iceland, FC Njardvik.
Walaupun sebelum ini Elavarasan menegaskan dia berminat untuk mendapatkan pemain berusia 21 tahun berkenaan, ketiadaan Luqman jelas menimbulkan tanda tanya.
"Kalau ada Luqman Hakim, pasti akan menjadi lebih menarik bukan?" soal Mohd Ejump.
"Kenapa tidak diberikan peluang kepada Luqman Hakim? Pada saya, dia layak untuk diberikan tempat dalam pasukan," soal Nish Faizul.
"Luqman Hakim memang tidak diberikan peluang lagi ya? Tiada siapa daripada mana-mana pihak yang pedulikannya lagi?" kata Aqi Azhari.
Penyerang kelahiran Kelantan itu memilih untuk berkelana ke Iceland selepas sukar mendapatkan tempat bersama skuad senior, KV Kortijk setakat ini.
Sepanjang berada di Iceland, Luqman diberikan beberapa minit permainan dengan dia juga mempamerkan kehebatannya menerusi gol ketika aksi persahabatan menentang Haukar FC.
Dalam masa sama, penyokong juga sekali lagi mempersoalkan keputusan pihak kejurulatihan yang tidak membawa masuk pemain sayap Johor Darul Takzim (JDT), Arif Aiman Hanapi.
Arif Aiman (kiri) sememangnya cukup terkenal dalam kalangan penyokong bola sepak tanah air. — Facebook/FAM
Penyerang itu sememangnya tidak perlu diperkenalkan lagi dengan namanya terus mekar bersama skuad Harimau Selatan sejak melakukan debut pada 2020.
Kemampuannya sama sekali sukar dipersoalkan apabila dia muncul sebagai pemain terbaik tempatan selama dua tahun berturut-turut.
Jadi, ketiadaannya itu sememangnya mengundang pelbagai teka-teki memandangkan dia masih layak untuk berada dalam skuad Bawah 23 (B-23) negara berdasarkan usianya ketika ini.
"Kenapa nama Arif Aiman tidak ada dalam senarai? Adakah dia sudah berusia lebih daripada 22 tahun? Atau dia memang tidak layak bersama skuad B-23?" soal Roslee Lam.
"Kenapa tidak dipanggil Arif Aiman juga? Peluang untuknya yang masih muda untuk terus bersinar, tetapi sayang tidak dipanggil pula," kata Muhamad Hafizi.
Musim ini, sentuhan pemain kelahiran Pahang itu sekali lagi terserlah selepas menjaringkan lima gol dan mencipta lima bantuan jaringan selepas lapan perlawanan.
Khidmatnya itu bagaimanapun dijangka akan diperlukan pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon menjelang saingan Piala Asia yang bakal berlangsung pada penghujung 2023. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram