Disamakan dengan Firmino, penyerang HM undang pujian setinggi langit fans The Rhinos


  • Podium
  • Ahad, 30 Apr 2023

Peranan yang dimainkan oleh penyerang Sang Badak itu disamakan dengan Firmino.

PERTEMBUNGAN yang dinantikan antara dua pasukan pencabar utama dalam saingan Liga Super akhirnya terjawab apabila pasukan Sabah FC berjaya menundukkan Selangor FC dengan gol kemenangan 2-1 di Stadium Likas, Sabah pada Khamis.

Kemenangan itu menyaksikan Sabah FC kini berada di tempat ketiga dalam carta Liga Super dengan mengutip 20 mata.

Prestasi yang ditunjukkan oleh pasukan Sang Badak amat mengejutkan pihak lawan dan penyokong yang turut hadir dalam menyaksikan perlawanan penuh dramatik tersebut.

WhatsApp Image 2023-04-29 at 18.57.55

Meskipun tidak berjaya mencetak gol, namun prestasi Darren mendapat perhatian penyokong.

Antara yang mencuri tumpuan peminat fanatik The Rhinos adalah persembahan cemerlang penyerang kebangsaan, Darren Lok.

Walaupun tidak berjaya meledak gol ketika menentang Gergasi Merah, namun rata-rata penyokong The Rhinos memuji tindakan penyerang itu dalam mengawal bola dengan kemas sepanjang perlawanan sehingga disamakan dengan pemain pasukan luar negara iaitu Liverpool, Roberto Firmino.

"Peranan dia macam Firmino dekat Liverpool, yang penting pertahanan lawan jaga dia sampai dua orang," kata penyokong Sabah FC, Mursalim Ismail.

"Darren Lok boleh main peranan memecah belah pertahanan lawan bagi membolehkan pemain lain termasuk pertahanan menjaringkan gol," kata Darius Emmanuel.

"Darren Lok pintar huru-harakan pertahanan lawan, tarik pemain lawan buka ruang, lawan pula lupa semua player Sabah FC macam striker. Taktikal DOKS menjadi," kata Walt FK.

Pemain berdarah campuran Malaysia-England itu dikatakan sebagai pemain terbaik bagi pasukan Sabah FC kerana mampu mengucar-ngacirkan pertahanan pihak lawan sehingga skuad Sang Badak berjaya membolosi gawang Gergasi Merah.

Walaupun hanya berjaya meledak dua gol dalam 10 perlawanan dalam saingan Liga Super, namun prestasi yang ditampilkan oleh pemain kebangsaan itu amat membanggakan.

Corak permainan yang ditunjukkan oleh The Rhinos mampu merobek kubu pertahanan The Red Giants yang akhirnya berjaya dibolosi dengan sepakan penalti pemain sayap Saddil Ramdani pada minit ke-24 dan gol kemenangan melalui sepakan percuma pemain veteren negara, Baddrol Bakhtiar pada minit ke-66.

Selepas ini, Sabah FC bakal menerima kunjungan daripada pasukan Terengganu FC pada 19 Mei di Stadium Likas, Kota Kinabalu, Sabah. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram