Minat sejak kecil jadi sumber rezeki, 10 tahun Annesa tawar khidmat kecantikan di Sandakan


  • Hobi
  • Sabtu, 29 Apr 2023

Annesa bersama rakan-rakannya yang juga merupakan pelanggan tetap di salon miliknya.

PASTINYA setiap orang mempunyai cita-cita dalam hidup yang ingin dicapai untuk menjadi kebanggaan kepada diri sendiri mahupun keluarga.

Siapa sangka bakat yang diwarisi oleh ibunya telah meletakkan dirinya di tahap baik apabila bisnes salon kecantikannya menjadi tumpuan ramai.

Perniagaan yang dimulakan pada tahun 2013 itu diberi nama I Cute Hair Studio menjadikan Annesa Rosleh kekal bersemangat untuk meneruskan kerjaya yang menjadi impiannya sejak kecil.

WhatsApp Image 2023-04-28 at 21.47.37

Annesa (kiri) bersama ahli keluarganya.

Dia yang berasal dari Sandakan, Sabah memilih bidang tersebut sebagai kerjaya kerana minat dari kecil di samping permintaan servis salon Muslimah sangat tinggi dalam kalangan wanita terutamanya di tempat kelahirannya itu.

"Saya belajar mengenai bidang ini dari ibu sebelum mendalaminya di institut kemahiran," katanya kepada Majoriti.

Di samping itu, dia juga berkata, ibunya menjadi pendorong utama yang mencetus semangat untuk dia memulakan perniagaan, sekali gus meneruskan warisan dan menjadi sumber pendapatan mereka sekeluarga.

"Bidang dandanan rambut adalah kepakaran saya dan kini ia menjadi sebahagian daripada sumber pendapatan keluarga, selain bidang jahitan," katanya.

WhatsApp Image 2023-04-29 at 15.26.00 (1)

Pemilik I Cute Hair Studio,Annesa Rosleh.

Selepas 10 tahun menceburi bidang ini, salon diusahakan wanita berumur 32 tahun itu semakin mendapat perhatian apabila menerima kehadiran pelanggan menjelang perayaan Aidilfitri.

Selain mendandan rambut, salon berkenaan juga popular dengan khidmat rawatan kulit kepala.

"Setiap pelanggan wanita yang datang biasanya akan ambil masa dua hingga tiga jam untuk satu sesi. Saya galakkan pelanggan untuk buat temu janji bagi elakkan pelanggan menunggu lama.

"Keselesaan pelanggan adalah keutamaan saya," jelasnya.

Sebagai Perunding Kecantikan, Annesa berharap perniagaannya terus menjadi pilihan wanita di kawasan Sandakan terutamanya dan dapat membantu ramai wanita berhijab tangani masalah keguguran rambut dan kulit kepala.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram