MESKIPUN cukup berminat dengan hobinya sebagai seorang pendaki, Noor Maizatul Hazra,38, tidak pernah melupakan tanggungjawabnya sebagai ibu kepada seorang cahaya mata yang perlu diawasinya setiap masa.
Ibu kepada Nur Nayla Ardani Muhammad Arham itu berkata, dia ingin membawa anaknya itu kerana merupakan seorang ibu yang masih menyusukan badan sepenuh masa dan masih berniat untuk meneruskan aktiviti pendakian itu.
"Walaupun saya merupakan ibu yang menyusukan badan sepenuh masa atau full breasting tapi saya tidak mahu berhenti dalam bidang pendakian ini dan masih mahu terus aktif walaupun sudah mempunyai anak," katanya kepada Majoriti.
Noor Maizatul bersama anaknya, Nur Nayla Ardani di pucak Gunung Nuang.
"Saya membawa Nayla sebab saya mahu pastikan sama ada dia sesuai jika dibawa bersama semasa hiking dan syukur anak saya memberikan kerjasama yang baik dan tidak pernah menangis.
Selain itu, dia juga mengatakan agak sukar untuk meninggalkan anaknya kerana sering melakukan aktiviti pendakian dan mula melatih diri sendiri dengan membawa anaknya mendaki seawal umur tiga bulan menggunakan carrier agar anaknya berasa selesa.
"Semasa waktu pendakian pula, dari segi penyusuan tidak ada masalah kerana saya akan berhenti untuk memberikan susu sambil berehat seketika lalu meneruskan lagi pendakian.
"Alhamdullilah, buat masa ini, anak saya tidak pernah ada apa-apa masalah kesihatan selepas mendaki dan tidak pernah sakit," kongsinya yang berasal dari Gombak, Selangor itu.
Tambahnya lagi, terdapat pelbagai persiapan yang perlu dilakukan sebelum boleh mendaki mana-mana lokasi yang dipilih, termasuk menyediakan barangan untuk cahaya matanya.
Ini termasuk membawa bekalan, seperti makanan dan keperluan lain di samping melakukan persiapan dari segi fizikal dan mental untuk memudahkan perjalanan.
"Buat masa ini, kenangan saya sepanjang mendaki semuanya manis-manis dan sebab saya tahu saya diizinkan Tuhan untuk membawa anak mendaki sehingga 21 puncak dan jika ada rezeki, Insyallah lepas raya ini akan bertambah lagi puncak yang akan saya sampai bersama anak saya," jelasnya.
Noor Maizatul bersama suami, Muhammad Arham dan anak mereka.
Menurut Noor Maizatul, hobinya itu berpunca daripada ajakan serta paksaan ibunya yang membawanya terlibat dalam aktiviti tersebut semasa dia masih berada di bangku persekolahan.
"Saya mula mendaki seawal umur lebih kurang 11 tahun sebab selalu ikut ibu yang berkhidmat sebagai tentera,kalau ibu perlukan latihan kecergasan,dia akan mendaki bukit dan saya dipaksa teman dan minat mendaki muncul ketika itu," katanya.
Tambahan pula, Noor Maizatul turut mendapatkan izin suaminya, Muhammad Arham Mohd. Anuar dan keluarganya untuk memperkenalkan anak mereka dengan dunia outdoor.
Hobi berkenaan sememangnya cukup memberi kesan dengan Nur Nayla Ardani sudah berjaya menjejakkan kaki ke beberapa puncak ternama dalam negara.
Ini termasuk Gunung Nuang, Selangor yang berketinggian 1,493 meter dan antara destinasi lain seperti Gunung Angsi yang cukup terkenal di Negeri Sembilan.
Malah, keterujaan ibunya turut memberi peluang buat Nayla mendapatkan pengalaman sehingga ke Thailand apabila mereka mendaki Gunung Silipat bersama-sama pada tahun 2022 dengan ketinggian 607 meter. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram