KEMENANGAN yang dimiliki oleh pasukan Sabah FC dalam menentang pencabar utama Liga Super iaitu skuad Selangor FC amat membanggakan penyokong Sang Badak itu.
Skuad Sang Badak kini berada pada kedudukan tiga teratas dalam saingan Liga Super dengan enam kemenangan dan dua seri serta dua kekalahan tetapi berjaya mengutip 20 mata keseluruhan musim ini.
Dengan kemajuan ini, pasukan Sabah FC berjaya mendapatkan slot dalam saingan Piala AFC yang merupakan impian setiap pasukan untuk berentap diperingkat yang lebih tinggi.
Aksi cemerlang yang ditunjukkan oleh anak buah pengendali Sabah FC.
Ia pastinya satu pencapaian cukup membanggakan dengan mereka musim ini sudahpun layak ke pentas Asia selepas menamatkan saingan Liga Super 2022 di tangga ketiga.
Namun, masih terdapat beberapa penambahbaikan yang perlu dilakukan, malahan penyokong bertegas aspek di luar padang masih berada di tahap kurang memuaskan. Bukan sahaja prestasi pemain tetapi fasiliti pasukan serta stadium juga perlu diambil berat.
Antaranya papan petunjuk skor elektronik di Stadium Likas, Sabah menjadi pertikaian penyokong kerana ia dianggap zaman 90-an. Ini kerana rata-rata stadium telah menggunakan scoreboard LED warna.
Jika bersaing di peringkat antarabangsa, fasiliti juga perlu dijaga kerana pihak lawan bakal datang berkunjung.
"Ada betulnya juga, banyak benda yang masih ketinggalan zaman di Stadium Likas, macam zaman 90-an. Harap satu hari nanti Stadium Likas ini dinaik taraf dengan baik," kata Ison Ynwa.
"Tengok scoreboard, terkenang Liga Malaysia zaman 90-an," kata Syed Ahmad Muhsin.
"Kalau nak main AFC kena upgrade itu rasanya, standard AFC scoreboard skrin LED berwarna," kata Hafiz Zaini.
Skuad Sabah FC bakal menerima kunjungan daripada pasukan Terengganu FC yang juga merupakan pencabar utama dalam saingan Liga Super pada 19 Mei di Stadium Likas, Sabah. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram