Bukan hanya di bulan Ramadan, kekal sihat dan hilangkan stres dengan 5 manfaat buah kurma


  • Sihat
  • Jumaat, 28 Apr 2023

Buah kurma boleh dijadikan sebagai salah satu bahan dalam resepi masakan dan minuman.

SEPERTI yang diketahui, orang ramai sering mencari penyelesaian cepat dan mudah untuk menghilangkan rasa dahaga mereka dan pastinya terdapat minuman yang dipilih mengandungi gula, pemanis tiruan serta bahan tambahan yang tidak sihat.

Buah kurma merupakan salah satu makanan sunnah yang mempunyai rasa manis semula jadi dan tidak mempunyai gula tambahan atau pemanis tiruan.

Namun begitu, ramai tidak mengetahui bahawa buah kurma juga menawarkan alternatif yang sihat dan lazat menjadi pilihan untuk kekal sihat.

Kurma_Ayam_

Ayam masak kurma antara menu yang menggunakan buah kurma.

1) Snek

Kurma mengandungi kandungan gula semula jadi fruktosa dan glukosa yang sangat sesuai untuk dijadikan sebagai snek atau kudapan sihat yang mengenyangkan dan sebagai pembekal tenaga.

Ramai tidak mengetahui bahawa kurma juga boleh dijadikan sebagai snek yang disaluti dengan coklat. Kombinasi coklat dan kurma merupakan satu sajian yang unik dan membuat kanak-kanak mahupun dewasa gemar untuk menikmati snek tersebut.

Kombinasi itu sangat menyelerakan kerana mempunyai gabungan rasa kurma dan manis yang terhasil daripada salutan coklat, bukan sahaja enak dimakan namun snek itu juga sangat berkhasiat kerana mengandungi coklat yang mampu mengurangkan stres seseorang.

2) Jus kurma

Kurma mengandungi kandungan gula semula jadi berupaya untuk mengembalikan tenaga khususnya kepada mereka yang berpuasa namun masih boleh diambil walaupun selepas bulan Ramadan.

Kebaikan jus kurma adalah untuk membantu menguatkan tulang, membantu pencernaan dan mengatasi rasa letih serta lesu.

Minuman buah kurma juga mengandungi serat tinggi yang baik dan membantu pergerakan usus serta menggalakkan sistem penghadaman. Keadaan itu akan menghalang usus daripada kanser dan sembelit.

3) Boleh digunakan dalam masakan

Pastinya ramai mengetahui bahawa buah kurma juga boleh digunakan sebagai bahan masakan. Ia dapat menambahkan kelazatan dalam masakan dan rasa yang unik. Terdapat banyak jenis resepi yang menggunakan kurma kerana khasiat buah itu.

Ayam masak kurma antara menu yang menggunakan kurma dan masakan tersebut sangat digemari rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa.

Hal ini kerana, masakan ayam masak kurma sering dihidangkan ketika perayaan atau pada hari biasa di kedai makan kerana kelazatan kuah yang terhasil daripada resepi ini sangat unik dan berlemak.

4) Hidangan kepada tetamu

Ketika musim perayaan Aidilfitri, masyarakat Malaysia tanpa mngira agama dan bangsa akan berkunjung ke rumah keluarga dan sanak saudara untuk mengeratkan lagi hubungan silaturahim.

Dengan adanya buah kurma di rumah, ia boleh dihidangakan kepada tetamu yang datang berkunjung sebagai hidangan tambahan kerana sudah pasti ramai yang menggemari buah kurma.

5) Makanan tambahan

Buah kurma dapat dijadikan sebagai tenaga tambahan kepada setiap orang. Sebiji buah kurma mampu membuatkan seseorang itu lebih bertenaga tanpa mengambil makanan tambahan.

Ini sebabnya umat Islam digalakkan memakan kurma ketika bersahur atau berbuka untuk mengekalkan tenaga seharian ketika waktu siang dan mengembalikan semula tenaga selepas berbuka puasa.

Oleh itu, disebabkan buah kurma adalah buah kering, ianya mudah disesuaikan dalam diet seharian dan bukan sekadar dimakan begitu sahaja malah dijadikan salah satu bahan dalam banyak resepi masakan dan minuman. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram