Lupakan khidmat import, minit permainan jadi cagaran penyokong Kedah mahu pinjam 'striker' kebangsaan


  • Podium
  • Khamis, 27 Apr 2023

Persembahan skuad Kedah FC kian merudum dalam dua perlawanan terdahulu yang menyaksikan kekalahan berturut-turut dialami pasukan tersebut. — Facebook/KDAFC

PRESTASI tidak menentu pasukan Kedah FC di saingan Liga Super musim ini nyata mengundang kerisauan dalam kalangan penyokong yang semakin goyah melihatkan aksi anak-anak buah Nafuzi Zain di atas padang.

Tewas dua kali berturut-turut dalam dua perlawanan terdahulu menyaksikan betapa skuad Sang Kenari ketika ini semakin tercari-cari rentak kemenangan dengan jentera serangan pasukan itu dikatakan semakin merudum dan kurang 'menyengat' di hadapan pintu gol.

Melihatkan situasi itu, penonton mula menggesa perubahan drastik dilakukan oleh pengurusan pasukan Kedah dengan tumpuan utama terarah kepada posisi serangan yang perlu ditambah baik menjelang jendela perpindahan kedua pemain pada musim ini nanti.

Beberapa pemain mula meniti di bibir peminat dengan majoriti daripadanya mahukan bekas tonggak Kedah, Syafiq Ahmad dibawa masuk secara pinjaman dari pasukan Johor Darul Takzim (JDT).

Kemasukan pemain itu dijangka membantu jentera serangan Sang Kenari sekali gus menjadi tonik terbaik buat rakan sepasukannya dalam memburu kemenangan menjelang baki saingan liga musim ini.

SHF

Syafiq Ahmad merupakan bekas pemain sensasi yang pernah mewakili Kedah satu ketika dahulu. — Instagram/Syafiq Ahmad

Kurang mendapat tempat di kesebelasan utama bersama JDT pada musim ini, Syafiq memperoleh dua penampilan setakat ini apabila dimasukkan sebagai pemain gantian yang menyaksikan hanya 14 minit permainan diperoleh dalam sembilan perlawanan musim ini.

Justeru, sentuhan bekas pemain kebangsaan yang juga merupakan tonggak utama skuad Harimau Malaya itu amat ditagih penyokong Hijau Kuning dengan kelibat anak jati Georgetown, Pulau Pinang itu diyakini mampu menyerlah di Kedah.

Laungan keyakinan itu disuarakan oleh salah seorang penyokong Kedah, Jan Fadzli di laman Facebook yang menggesa kemasukan pemain itu ke Sang Kenari secara pinjaman pada pertengahan musim nanti.

"Secara peribadi, aku sekali lagi macam musim-musim sebelum ini berharap Kedah FC dapat bawa masuk Syafiq Ahmad secara pinjaman untuk membantu jentera serangan Sang Kenari.

"Mungkin ramai yang tidak setuju tapi ini sekadar daripada pandangan peribadi aku sebab kita bukan nak lawan JDT sahaja, banyak lagi pasukan lain yang perlu dihadapi," ujarnya.

"Kalau demi untuk memantapkan Kedah, tak salah pun loan Syafiq balik, satu cadangan yang baik sebenarnya," kata Badl Shah Che Rose.

"Permainan Kedah senang dibaca, import yang ada sekarang tak membantu sangat bila buat tekanan dan hanya tunggu bola di atas, kena ada penyerang lincah macam Syafiq yang agresif serang pertahanan lawan, rasanya ada ruang untuk pergi jauh kalau perpindahan kedua nanti digunakan dengan baik," jelas Zulfikri Azmi.

Mempunyai kebolehan sepakan jarak jauh dan tandukan tepat ke arah gawang lawan antara keupayaan dimiliki pemain itu yang pernah beberapa kali menewaskan penjaga gol lawan.

Aksi cemerlang ditampilkan Syafiq Ahmad ketika bersama Kedah FC.

Justeru, dengan minit permainan yang semakin berkurangan di JDT ketika ini, khidmat pemain itu kian ditagih bersama Sang Kenari dengan era kegemilangannya juga diyakini mampu kembali terbentuk sekiranya beraksi semula bersama Kedah.

Kecewa dengan pilihan pemain import yang dibawa masuk pada musim ini, tumpuan peminat kiri tertumpu kepada bakat 'emas' dimiliki pemain tempatan dengan Shafiq Ahmad menjadi pilihan utama untuk mengemudi bahagian serangan pasukan.

Perlawanan seterusnya nanti bakal menemukan Kedah dan Negeri Sembilan FC pada 28 April kelak dan tiga mata penuh semestinya dimahukan anak-anak buah Nafuzi Zain bagi meneruskan kemaraan pada saingan musim ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram