'Radu tetap radu', fans The Rhinos mahu Faisal Halim dirantai habis-habisan, elak 'siuuuu' bergema di Stadium Likas


  • Podium
  • Rabu, 26 Apr 2023

Sabah FC dijangkan akan merantai kemas pergerakan Faisal Halim ketika melayan kunjungan Selangor di Stadium Likas, Kota Kinabalu pada Khamis. — Facebook/SabahFC

PERTEMUAN pasukan Sabah FC dan Selangor FC dalam saingan kesepuluh Liga Super musim ini pada Khamis bakal menjadi perlawanan tumpuan dengan kedua-dua pasukan itu sedang giat memburu mata untuk membaiki kedudukan carta liga.

Bakal melayan kunjungan Selangor di Stadium Likas, Kota Kinabalu, Sabah, skuad The Rhinos semestinya enggan berputih mata di hadapan penyokong sendiri dengan tiga mata penuh menjadi sandaran utama dalam tempoh 90 minit permainan itu nanti.

Masih segar dengan kemenangan 6-1 ke atas Kelantan FC, penyokong enggan pasukan itu terus dibuai mimpi dengan perlawanan berikutnya pasti akan diberikan tentangan sengit oleh skuad Gergasi Merah yang semakin bernafsu memburu kemenangan.

Selangor yang semakin mendapat perhatian kebelakangan ini dilihat mula membentuk gandingan mantap di bahagian serangan pasukan khususnya penyerang berbisa, Faisal Halim yang semakin 'menjadi' dalam beberapa perlawanan terdahulu.

Menyedari akan kelicikan serta ketajaman pemain itu ketika di hadapan pintu gol, peminat The Rhinos enggan mengalah sebaliknya terus melaung keyakinan bahawa barisan pertahanan Sabah mampu mengunci pergerakan pemain kebangsaan tersebut.

FASII

Faisal Halim antara penyerang licik dimiliki skuad Gergasi Merah pada musim ini. — Facebook/SelangorFC

Terkenal dengan gaya jaringan 'siuuu' yang sering dilakukan, situasi itu dijangka tidak akan berlaku di Stadium Likas kelak dengan perlawanan terbabit dijangka berkesudahan 2-0 yang memihak kepada pasukan Sabah.

"Apa pun berlaku, Sabah mesti menang lawan Selangor, biar pun hanya dengan 1 atau 2-0, asalkan dapat menjarakkan kedudukan tangga teratas di Liga Malaysia, Sabah Radu tetap Radu," kata Steven Mojundul Dahal.

"Kali ini bukan senang Selangor boleh kalahkan Sabah, permainan 50/50 silap-silap mereka akan tewas, bagi pertahanan kanan rantai Faisal Halim," ujar Jokoring Kinjin.

"Biar Rawilson rantai cukup-cukup Faisal Halim 27 April nanti, Liga Super musim ini jangan kasi lepas," jelas Eindz Selamanya.

Dalam pada itu, penyokong juga mahu Selangor pulang dengan tangan kosong tanpa sebarang jaringan menjelang pertemuan itu nanti dan segala persiapan dijangka akan dibuat sebaik mungkin oleh pengendalinya, Datuk Ong Kim Swee khususnya di bahagian benteng pertahanan bagi mengekang asakan lawan.

"Kim Swee mesti akan tambah baik benteng pertahanan pasukan, Faisal perlu dikawal dengan rapi dan elakkan dia buat percubaan jarak jauh dari luar kotak penalti," kata Mbzubair Kiman.

"Keputusan 2-0 akan diperoleh Sabah, jentera serangan sedia ada dah mantap cuma perlukan pertahanan kebal untuk elak dibolosi nanti," jelas Khusyair Raman.

Sabah yang ketika ini berada di kedudukan keempat liga berpeluang untuk melonjak ke tangga ketiga dengan penambahan tiga mata penuh, bakal menyaksikan 20 mata keseluruhan akan dimiliki sekiranya menang perlawanan tersebut.

Mungkin ia masih belum mencukupi untuk memintas Selangor yang berada di kedudukan kedua dengan 22 mata, namun ia sekurang-kurangnya akan memberikan tentangan serta merapatkan jurang ke atas pasukan tersebut selain Johor Darul Takzim yang semakin selesa di puncak liga ketika ini.

Melihatkan kepada keyakinan penonton terhadap pasukan Sabah, perlawanan berkenaan pastinya akan disajikan dengan pelbagai drama serta aksi menarik untuk dibualkan penonton dengan segalanya akan terjawab menjelang pertemuan itu nanti. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram