PERBUATAN seorang lelaki yang membakar mercun di tengah-tengah pasar malam di Uptown, Sungai Petani, Kedah pada Ahad mengundang kecaman warganet.
Meskipun dipenuhi ramai pengunjung dewasa dan kanak-kanak, si pelaku bertindak di luar kawalan apabila membakar beberapa jenis bahan letupan dipercayai mercun di lokasi berkenaan.
Situasi itu secara tidak langsung mengundang seribu satu kecaman di laman media sosial yang menyaksikan beberapa pihak menggesa agar tindakan undang-undang diambil ke atas si pelaku.
"Ini la mentaliti rakyat Malaysia, baru diberi kebenaran berniaga mercun dah buat masalah, apa jadi kalau satu hari nanti pistol senapang pula diberikan kebenaran sama, " ujar Naquib_syed.
"Sesetengah orang tak ada perasaan, bila dah kena batang hidung sendiri pandai pula keluar segala hukum hakam undang-undang negara bagai," kata nursajak.
"Orang lain pun berniaga mercun juga, tapi takda la bakar tengah orang ramai sesak macam itu, harap polis segera ambil tindakan," jelas Azrul Ashraf.
Dalam pada itu, sebuah lagi video berasingan turut memaparkan kejadian di lokasi serupa yang menyaksikan beberapa individu membakar mercun ketika pengunjung sedang menikmati juadah makan.
Tersentak dengan letupan itu, mereka kemudiannya beredar dan melarikan diri dari lokasi berkenaan.
Belum ada sebarang kenyataan polis berkaitan kes terbabit dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta hadir ke balai polis berhampiran untuk membantu siasatan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram