1 Syawal: Ribut petir, angin kencang dijangka landa beberapa negeri hingga 6 petang


  • Massa
  • Sabtu, 22 Apr 2023

Beberapa buah negeri diramal berhadapan cuaca ribut petir hingga pukul 6 petang pada Khamis. — Gambar hiasan

BEBERAPA negeri diramal bakal dilanda ribut petir berserta angin kencang di beberapa kawasan hingga pukul 6 petang.

Jabatan Meteorologi (MET Malaysia) menerusi kenyataan di Facebook pada Sabtu memaklumkan, hujan lebat dan ribut petir diramal berlaku di Perlis, Kedah, Melaka dan Johor selain Pulau Pinang membabitkan kawasan Seberang Perai Utara, Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Selatan.

Sementara itu, di Perak turut membabitkan kawasan Kerian, Larut, Matang Dan Selama, Hulu Perak, Kuala Kangsar, Kinta, Kampar, Batang Padang dan Muallim.

Di Kelantan dan Terengganu pula, masing-masing hanya membabitkan satu kawasan iaitu Gua Musang dan Hulu Terengganu.

Amaran hujan lebat, ribut petir berserta angin kencang itu turut diramalkan di ibu kota selain Selangor membabitkan kawasan Kuala Selangor, Hulu Selangor, Klang, Gombak dan Petaling.

Di Pahang pula membabitkan Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Raub, Jerantut, Bentong dan Rompin.

MET Malaysia turut mengeluarkan amaran yang sama bagi Sarawak membabitkan kawasan Miri (Miri dan Marudi) serta Limbang.

Di Sabah, kawasan pedalaman dan pantai barat iaitu Sipitang, Kuala Penyu, Beaufort, Tambunan, Papar, Putatan, Penampang, Kota Kinabalu dan Tuaran selain Labuan antara yang diramal terkesan dengan cuaca buruk itu.

Amaran tersebut dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mililiter (mm) per jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.

Ribut petir juga merupakan amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran menurut kenyataan tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram