BEKAS Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo dan isterinya Zaharah Kechik, masing-masing 58 tahun disahkan bercerai menerusi perkongsian dimuat naik di laman Facebook pada Khamis.
Zaharah Kechik atau lebih dikenali sebagai Aisya Khira di laman media sosial itu memuat naik perkongsian berkenaan selepas status hubungan pasangan itu meninggalkan tanda tanya dalam kalangan masyarakat sejak tahun lalu.
Menurutnya, beliau dan Dr Mohamad Khir Toyo telah sah bercerai dan meminta orang ramai tidak menimbulkan sebarang fitnah di masa hadapan.
Perkongsian dimuat naik di laman Facebook peribadi Zaharah Kechik pada Khamis.
"Perancangan ALLAH tiada yang tahu, namun setiap daripada takdir dan perancanganNya adalah yang terbaik.
"Untuk makluman, saya Puan Zahrah Binti Kechik telah sah berpisah. Dimaklumkan di sini supaya tidak menimbulkan fitnah di masa hadapan. Kepada ALLAH kita berserah," ujarnya.
Dalam pada itu, difahamkan pasangan tersebut sudah berpisah sejak September tahun lalu namun ia tidak dikongsikan oleh bekas menteri besar Selangor yang mengambil pendirian merahsiakan hal berkenaan.
Untuk rekod, Dr Mohamad Khir sebelum ini mendakwa dirinya sudah memenuhi tanggungjawab sebagai suami sejak 30 tahun lalu, dan beliau berpendapat tiada sebab untuk menceraikan Zaharah ketika perbicaraan kes berlangsung di Mahkamah Shah Alam, Selangor Jun tahun lepas.
Namun, pendedahan dibuat Zaharah pada Khamis telah menjawab segala spekulasi yang timbul berkaitan hubungan mereka dan orang ramai diminta untuk tidak menghebohkan lagi isu tersebut.
Susulan pendedahan itu, Majoriti sedang cuba mendapatkan maklum balas Dr Khir Toyo berhubung perkara berkenaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram