PEMAIN kebangsaan negara, Faisal Halim mencuri tumpuan apabila muncul dalam iklan raya produk rangkaian minuman susu.
Menerusi iklan berdurasi 2 minit 16 saat itu, Faisal yang juga penyerang Selangor FC memegang watak utama sebagai seorang anak yang pulang ke kampung untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Iklan tersebut turut menceritakan kisah benar tentang bintang kelahiran Pulau Pinang dan rakan-rakannya sebelum bergelar pemain bola sepak Malaysia.
Turut terlibat berlakon sama dalam iklan tersebut ialah dua lagi pemain Selangor iaitu Syahir Bashah dan Sharul Nazeem Zulpakar.
Selain itu, pemain Kuala Lumpur City FC, Akram Mahinan turut memegang watak sebagai kawan Faisal dalam iklan berkenaan.
Faisal sememangnya dikenali sebagai pemain bola yang versatil dan pernah menceburi industri seni apabila tampil dalam sebuah rancangan televisyen terkenal iaitu Sepahtu Reunion.
Selain itu, dia juga bijak mencari duit poket lain dengan menceburi bidang perniagaan dan menjual produknya menerusi laman media sosial.
Melihat pada lakonan yang ditunjukkan Faisal, rata-rata penyokong bola sepak tanah air memuji pemain tersebut.
Seorang penyokong, Mamat Dior berasakan Faisal mempunyai masa depan yang cerah sekiranya tidak bermain bola sepak lagi.
"Wah.. Cerah masa depan kau Faisal, semua pandai. Nampak kesungguhan dia berlakon menghayati watak disitu," tulisnya.
Pendapat Mamat turut dipersetujui Sharifah Ainun.
"Kalau Faisal sudah tak main bola sepak, dia boleh terjun ke bidang lakonan. Cerah masa depan. Walaupun agak kekok lakonannya tapi untuk percubaan kali pertama berlakon iklan sedih aku rasa okay," katanya.
Adam"" turut memuji lakonan Faisal dan pemain Selangor yang lain.
"Sebagai seorang penyokong Selangor yang setia, aku puji lakonan Faisal. Part dia dengan mak dia itu aku ada rasa tersentuh tapi ada juga sedikit lawak," katanya.
Sebelum ini juga, Faisal pernah mencuri tumpuan penyokong bergurau dengan rakannya ‘bertugas’ sebagai seorang penghantar makanan.
Dia datang dengan memakai pakaian lengkap Grab bertanya sekiranya ada pesanan piza dilakukan oleh mereka yang setia menunggu.
Video yang dimuat naik di akaun TikTok milik peribadinya itu menjadi tular dalam kalangan penyokong bola sepak tanah air. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram