Cemerlang di Piala MFL, Hai-O digesa segera naik pangkat kemudi skuad 'abang' Sang Penyu


  • Podium
  • Khamis, 20 Apr 2023

Kecemerlangan skuad muda TFC II di Piala MFL semakin mendapat perhatian penyokong Sang Penyu. — Facebook/TFC II

PERSEMBAHAN goyah dipamerkan pasukan Terengganu FC ketika tewas 1-5 di tangan Selangor FC pada aksi kesembilan Liga Super Selasa lalu tampak menyaksikan skuad Penyu mula hilang rentak dan semangat berpasukan.

Meskipun hadir ke tempat lawan dengan penuh keyakinan susulan tiga kemenangan berturut-turut yang dicapai sebelum ini, Terengganu nyata gagal mengekang asakan bertali arus pasukan lawan apabila dibolosi seawal minit ke 17 permainan.

Namun, kekalahan itu sedikit terubat dengan persembahan cemerlang dipamerkan skuad muda Terengganu yang beraksi di saingan Piala MFL musim ini.

Pasukan itu kini berada di bawah kendalian legenda bola sepak tempatan, Hairuddin Omar yang juga merupakan anak jati Setiu, Terengganu.

hai o

Hairuddin Omar mempamerkan bakatnya dalam bidang kejurulatihan bersama skuad Sang Penyu. — Facebook/TFC II

Dia yang sebelum ini bersama-sama bekas pengendali Sang Penyu, Nafuzi Zain sememangnya disebut-sebut sebagai pengganti walaupun masih lagi kurang berpengalaman dalam bidang kejurulatihan.

Tetapi, dengan Tomislav dipilih pihak pengurusan untuk mengemudi skuad utama di saingan Liga Super, Hairuddin diberi kepercayaan untuk mengendalikan Terengganu FC II bagi memberikan pendedahan lebih baik.

Peluang yang diberikan nyata tidak disia-siakan olehnya apabila berjaya membawa pasukan itu menghuni tangga teratas Kumpulan A Piala MFL.

Berjaya mengumpul tiga mata dalam kesemua tujuh perlawanan, termasuk kemenangan bergaya 4-1 ke atas Kelantan United FC II sekali gus membuktikan betapa skuad simpanan itu mampu meraih pencapaian lebih tinggi berbanding skuad utama.

Justeru, beberapa pihak mula menggesa agar khidmat pengendali itu diserap masuk ke skuad 'abang' yang dikatakan semakin merudum dan amat memerlukan sentuhan serta tonik terbaik daripadanya.

"Tahniah TFC II, bukan macam skuad utama ambil import tapi tak bagus mana pun, longlai je persembahan semuanya," ujar Pin Aping.

"Elok serap Hai-O ke skuad utama, lepas itu pilih pemain tempatan yang bagus dan berkualiti untuk dibawa masuk bermain di Liga Super, tak perlu import pun boleh berjaya," kata Mohd Rusdi.

"Kalau Hai-O jadi jurulatih TFC, memang boleh gemilang la di Liga Super bukan macam sekarang ini, tak konsisten gaya permainan dengan import yang tak berfungsi," ujar Amirul Radi.

Berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah dalam tujuh perlawanan, menyaksikan TFC II berjaya memungut 21 mata penuh jauh meninggalkan pesaing rapatnya, PDRM FC yang hanya memungut 16 mata di kedudukan kedua Kumpulan A.

MF

TFC II jauh meninggalkan PDRM FC yang berada di tangga kedua Kumpulan A Piala MFL. — Facebook/MFL

Jika dibandingkan dengan prestasi semasa skuad utama TFC di Liga Super, anak-anak buah Tomislav Steinbruckner setakat ini hanya mengutip 13 mata di tangga keenam liga yang nyata semakin jauh dalam perebutan tempat pertama yang semakin dikuasai oleh Johor Darul Takzim (JDT) meskipun ada cakap-cakap kosong menyifatkan standard kedua-dua liga itu tampak jauh berbeza untuk dijadikan ukuran.

Bakal membuat perhitungan dengan pasukan Sri Pahang FC pada 26 April nanti, penyokong setia Sang Penyu semestinya enggan berputih mata sebaliknya mahu menyaksikan pasukan itu bangkit daripada kekalahan dan terus mempamerkan persembahan cemerlang pada musim ini, sekali gus setara dengan kecemerlangan TFC II di pentas Piala MFL.

Bukan apa, dengan tumpuan peminat yang kini terarah kepada Hairuddin Omar untuk diserap masuk sebagai pengendali di skuad utama, pastinya menjadi sandaran serta harapan ramai menjelang musim akan datang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram